DJOKOVIC bakal berdepan pemain generasi baharu. FOTO Reuters
DJOKOVIC bakal berdepan pemain generasi baharu. FOTO Reuters
AFP

London: Novak Djokovic bersedia untuk melancarkan pertarungan solo untuk mengekalkan legasi generasi emas Wimbledon dalam menghadapi gelombang baharu yang semakin berjaya yang diterajui oleh Carlos Alcaraz dan Jannik Sinner.

Bagaimanapun, ia mungkin tidak akan menyebelahi juara tujuh kali dan pemegang 24 gelaran Grand Slam apabila kejohanan itu bermula minggu depan.

Tiba di London selepas menjalani pembedahan lutut baru-baru ini, pemain Serbia berusia 37 tahun itu adalah naib juara di belakang Alcaraz tahun lalu, menyaksikan kuasa Grand Slamnya terhakis pada 2024.

Dia digantikan sebagai juara Terbuka Australia oleh Sinner dengan pemain Itali itu turut mengambil ranking nombor satu dunianya.

Djokovic kemudian melihat mahkota Terbuka Perancis dirampas Alcaraz selepas dia terhincut-hincut keluar dari Paris akibat kecederaan meniskus di lutut kanannya.

Jika Djokovic menyamai rekod lapan gelaran Wimbledon Roger Federer, dia akan menjadi juara tertua era moden.

"Saya mempunyai keinginan yang luar biasa untuk bermain, hanya untuk bersaing," kata Djokovic yang akan menentang pemain ranking ke-123 Vit Kopriva dari Republik Czech pada perlawanan pembukaannya.

"Hanya memikirkan mengenai kehilangan takhta Wimbledon adalah tidak betul."

Dengan Federer kini bersara, Rafael Nadal menarik diri untuk memberi tumpuan kepada Sukan Olimpik Paris dan Andy Murray beraksi selepas pembedahan belakang, pastinya terdapat aura perubahan di barat daya London.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 1:42 PM