MOHAMAD Assahid Mohamad Zin dan Noor Shahieda Mohamad Aamin bersama anak mereka Ayra Sumayyah yang menghidap penyakit Biliary Atresia (BA) atau penyakit hati yang memerlukan rawatan di China. FOTO ROHANIS SHUKRI
MOHAMAD Assahid Mohamad Zin dan Noor Shahieda Mohamad Aamin bersama anak mereka Ayra Sumayyah yang menghidap penyakit Biliary Atresia (BA) atau penyakit hati yang memerlukan rawatan di China. FOTO ROHANIS SHUKRI
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: "Sejak sedar selera Ayra Sumayyah baik dan selalu minta susu cuma buat masa sekarang doktor terpaksa hadkan susu untuknya," kata Noor Shahieda Mohamad Ajamin.

Noor Shahieda, 33, berkata, anaknya, Ayra Sumayyah Mohamad Assahid yang sebelum ini menghidap Biliary Atresia (BA) atau kegagalan fungsi hati juga sudah dipindahkan ke wad biasa bersamanya semalam.

"Imbasan 'ultrasound' hati yang baru menunjukkan tindak balas bagus dan kami sekarang masih dalam pemantauan doktor. Ketika ini keadaannya juga baik serta stabil.

"Ayra ada selera dan selalu minta susu tetapi buat masa ini doktor hadkan kuantiti susu dan hanya boleh bagi 30 mililiter (ml) setiap empat jam sekali untuk melihat tindak balas susu dalam badannya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, dia dan anaknya dijangka dibenarkan pulang ke tanah air seminggu atau dua minggu lagi namun perlu bergantung kepada keadaan Ayra Sumayyah.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kisah Ayra Sumayyah berusia setahun yang menetap di Taman Areca, Bahau di Negeri Sembilan memerlukan dana melakukan pemindahan hati yang didermakan ibunya, Noor Shahieda di China.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 5:16 PM