NORIDZUAN Abdul Manan (dua dari kiri) memilih bongkah abu al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat suci untuk dilupuskan di perairan negeri ini. FOTO Mohd Rafi Mamat
NORIDZUAN Abdul Manan (dua dari kiri) memilih bongkah abu al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat suci untuk dilupuskan di perairan negeri ini. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) melupuskan sebanyak 10 tan abu al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat suci di perairan negeri, hari ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan JAIP, Noridzuan Abdul Manan, berkata program pelupusan yang diadakan kali ini mendapat kerjasama sepenuhnya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berpangkalan di Tanjung Gelang, dekat sini.

Katanya, KD Pahang digunakan untuk membawa 10 tan bongkah abu al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat suci yang sebelum ini diproses di Kompleks Pemuliaan al-Quran di Chenor, Maran dan Pekan.

Menurutnya, bongkah abu seberat antara empat hingga lima kilogram (kg) setiap satu disimpan dalam kontena di dua kompleks terbabit sebelum diletakkan dalam 19 guni besar seberat antara 500 hingga 600 kilogram (kg) setiap satu sebelum ditempatkan dalam KD Pahang, petang semalam.

"Sebanyak 5.2 tan bongkah abu diambil di Chenor, selebihnya dari Pekan yang sebelum ini kita membuat pelupusan sebanyak dua tan di perairan Pekan dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kuala Pahang.

"Bagi Kompleks Pemuliaan al-Quran di Chenor yang terbesar di negara ini, ia adalah program pelupusan kali pertama dilakukan selepas kompleks berkenaan beroperasi tahun lalu yang mampu melupuskan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat suci sebanyak satu tan seminggu," katanya, di sini hari ini.

Program pelupusan hari ini diketuai Pengarah JAIP, Datuk Dr Zulkifle Ali.

Noridzuan berkata, pihaknya akan terus mengadakan program pelupusan bongkah abu al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat suci secara berperingkat setiap tahun, dua hingga tiga kali program pelupusan akan diadakan dengan kerjasama TLDM dan LKIM.

Katanya, aktiviti membakar menggunakan insinerator atau relau dengan sumber api daripada gas hanya dapat dilakukan dua kali seminggu antara 300 kg hingga satu tan.

Sementara itu, Zulkifle berkata, masyarakat Islam tidak seharusnya cuai dalam menjaga al-Quran hingga menyebabkan ia rosak seterusnya perlu dilupuskan.

"Setiap kali berlaku bencana banjir besar di negeri ini, jumlah al-Quran yang rosak bertambah beberapa kali ganda," katanya yang berharap proses pelupusan dapat terus berjalan lancar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 11:33 AM