JAIP mengumpul al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran sebelum dilupuskan. FOTO Roselan Ab Malek
JAIP mengumpul al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran sebelum dilupuskan. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek


Jerantut: Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) mengumpul kira-kira lima tan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak ketika banjir di Pahang, untuk proses pelupusan, baru-baru ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Jaip Noridzuan Abdul Manan berkata, pihaknya mengambil masa tiga hari untuk mengumpul al-Quran itu di Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) Temerloh, Jerantut dan Raub.

Beliau berkata, pengumpulan al-Quran yang rosak akibat banjir itu perlu dilupuskan mengikut tatacara pelupusan mengikut hukum syarak seiring dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Katanya, usaha itu mendapat kerjasama Yayasan Hubbulquran dan Yayasan Maghfirah yang menanggung kos melupuskan al-Quran berkenaan.

"Setakat ini kira-kira lima tan bahan itu dapat dipungut dan dikumpul dari tiga daerah yang terjejas banjir dengan kos kira-kira RM30,000 dan akan dilupuskan secara berperingkat.

"Bahan yang sama dari Maran, Chenor dan Pekan yang kini ditempatkan di Paid masing masing, dianggarkan kira-kira 5 tan lagi masih belum dikutip dan dilupuskan kerana tempat pengumpulan serta pembakaran sudah agak padat dan mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk proses pembakaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Pengumpulan dan Pelupusan al-Quran di Pusat Pemuliaan Teks al-Quran Temin, di sini, hari ini.

Katanya, selepas proses yang menggunakan alat pembakaran khas di Pusat Pemuliaan Teks al-Quran, Pusat Temin Kraf di sini, debu bahan itu ditanam di tempat khas berhampiran tanah perkuburan Kampung Pisang, Temin.

Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan jika sekiranya ada orang perseorangan yang ingin melupuskan sendiri bahan cetak al-Quran dan berkaitan, perlu membakarnya di tempat sesuai dan debu itu ditanam di tempat jauh daripada haiwan.

Katanya, setakat ini, Pahang menjadi antara negeri sering terjejas banjir dengan merekodkan pengumpulan kitab suci al-Quran rosak tertinggi yang mana pada 2014 seberat 12 tan al-Quran rosak berikutan bencana berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2021 @ 5:19 PM