SUKARELAWAN mengumpul al-Quran yang rosak selepas ditenggelami banjir di Bentong. FOTO Mohd Rafi Mamat
SUKARELAWAN mengumpul al-Quran yang rosak selepas ditenggelami banjir di Bentong. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) meminta orang ramai yang memiliki al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak akibat banjir dikumpul bagi tujuan pelupusan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Jaip, Noridzuan Abdul Manan berkata, bahan bacaan berkenaan yang tidak boleh digunakan lagi perlu dikumpul di masjid kariah dan surau setempat.

Menurutnya, pihaknya akan menjalankan aktiviti mengambil dan mengumpul al-Quran serta bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak secara berperingkat sebelum dilupuskan.

Katanya, aktiviti itu dilakukan bertujuan memelihara kemuliaan al-Quran serta bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran dan dilupuskan mengikut tatacara pelupusan yang ditetapkan Jaip.

"Al-Quran serta bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak akan dilupuskan mengikut kaedah yang menepati hukum syarak bagi memastikan kemuliaanya.

"Aktiviti pelupusan akan dilakukan di pusat pelupusan di Kampung Temin, Jerantut, kemudian abu bahan bakar itu dilepaskan ke laut," katanya, di sini semalam

Beliau berkata, sebelum ini terdapat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan aktiviti mengumpul

al-Quran serta bahan bercetak mengandungi ayat al Quran yang rosak kemudian diserahkan kepada JAIP.

Noridzuan berkata, pada kejadian banjir awal Januari lalu, Jaip mengumpul dan melupuskan lebih 15 tan al-Quran rosak di seluruh Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Disember 2021 @ 8:08 AM