Proses membakar al Quran menggunakan insinerator di pusat pemuliaan al Quran JAIP Peramu. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Proses membakar al Quran menggunakan insinerator di pusat pemuliaan al Quran JAIP Peramu. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Oleh Mohd Rafi Mamat


Pekan: Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) akan melupuskan lapan tan abu dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran dalam bentuk bongkah di perairan negeri ini, Mei depan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan JAIP Noridzuan Abdul Manan berkata, aktiviti pelupusan berkenaan merupakan peringkat pertama daripada dua peringkat yang mendapat kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia.

Menurutnya, kebanyakan bahan itu milik individu, surau dan masjid yang rosak akibat banjir di beberapa daerah di Pahang pada 2021.

"Proses pelupusan menggunakan dua unit insinerator atau relau di pusat pemuliaan al-Quran JAIP di Peramu, Pekan yang mampu melupuskan kira-kira 200 hingga 300 kilogram sehari. Gas digunakan sepenuhnya sebagai bahan api," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Noridzuan berkata, tahun lalu pihaknya melupuskan kira-kira enam abu al-Quran dan bahan bercetak berbentuk bongkah di perairan negeri ini.

Katanya, orang ramai yang ingin melupuskan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat suci boleh berhubung dengan Bahagian Penyelidikan JAIP.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2023 @ 12:46 PM