Pusat pembakaran pelupusan ayat suci termasuk al-Quran yang rosak terkesan bah di Taman Yayasan Segamat di sini. FOTO AHMAD ISMAIL
Pusat pembakaran pelupusan ayat suci termasuk al-Quran yang rosak terkesan bah di Taman Yayasan Segamat di sini. FOTO AHMAD ISMAIL
Ahmad Ismail


Segamat: Pusat pelupusan al-Quran atau bahan bercetak mengandungi ayat suci di Taman Yayasan di sini, tidak mengenakan sebarang bayaran pelupusan bagi bahan berkenaan yang rosak kesan daripada banjir.

Petugas juga sukarelawan pusat pelupusan al-Quran, Jaafar Maskor, 64, berkata, aktiviti pelupusan dilakukan menggunakan insinerator atau tempat pembakaran khas.

Katanya, pusat pelupusan itu mampu melupuskan kira-kira 100 kilogram (kg) bahan bacaan berkenaan yang sudah kering hampir 100 peratus.

Beliau berkata, proses membakar dilakukan secara berkala dan mengambil masa 24 jam.

"Kita mengambil masa yang agak panjang untuk melupuskan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat suci kerana jumlahnya kini ada kalanya meningkat mendadak terutama dimusim bah," katanya ditemui selepas memantau proses pelupusan al-Quran, hari ini.

Jaafar berkata, pelupusan itu dilakukan bertujuan memelihara kemuliaan al-Quran serta bahan bercetak mengandungi ayat suci.

Ia dilupuskan mengikut tatacara pelupusan yang ditetapkan syarak.

"Pemilik al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak akibat banjir bolehlah mengumpulnya di masjid kariah dan surau setempat bagi tujuan pelupusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 1:07 PM