Steven Sim Chee Keong (tengah) selepas majlis pelancaran tajaan caruman SKSPS dan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bersama Grab Malaysia, semalam. FOTO BERNAMA
Steven Sim Chee Keong (tengah) selepas majlis pelancaran tajaan caruman SKSPS dan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bersama Grab Malaysia, semalam. FOTO BERNAMA
Oleh Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) umpama talian hayat buat pencarum dan waris sekiranya berlaku perkara tidak diingini semasa mereka keluar mencari rezeki.

Suri rumah, Siti Nur Aishah Mohd Ali,32, mengakui skim berkenaan membantu dia dan empat anaknya masing-masing berusia lima hingga 11 tahun meneruskan kelangsungan hidup selepas suaminya, Mohamad Khairul Nizam Abdul Rashid maut dalam kemalangan motosikal di Bukit Ampang, 11 Mac tahun lalu.

"Saya memang susah hendak bekerja kerana menguruskan empat anak masih kecil dan bersekolah tetapi alhamdulillah, dengan adanya SKSPS saya dapat RM1,395 setiap bulan sehingga anak umur 18 tahun.

"Dengan duit itulah saya gunakan untuk besarkan anak-anak termasuk perbelanjaan sekolah dan keperluan makan minum harian kami," katanya.

Siti Nur Aishah turut menyarankan kepentingan mencarum Perkeso bagi golongan yang bekerja sendiri.

"Arwah suami sebenarnya empat tahun bekerja sepenuh masa dengan Grab Malaysia, sebelum itu memang dia tidak pernah mencarum.

"Tetapi saya bersyukur rakannya pernah datang rumah pujuk dan tolong dia membuat caruman iaitu dua bulan sebelum dia kemalangan.

"Jadi, wajib carum Perkeso sebab memang malang tidak berbau dan kita tidak tahu bila-bila saja kemalangan berlaku," katanya.

Kepentingan mencarum dengan Perkeso turut diakui, Abdul Hayyi Al Hakimi Nazli, 26, mangsa pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, 7 Mei lalu.

Menurut Abdul Hayyi Al Hakimi, dia layak menerima Faedah Hilang Upaya Sementara iaitu cuti sakit dengan kadar RM41.33 sehari termasuk permohonan tuntutan faedah perubatan serta rawatan rehabilitasi selepas mencarum di bawah SKSPS.

"Saya terima duit berkenaan mengikut 14 hari cuti sakit saya dan banyak manfaat lain lagi saya terima termasuk duit poket.

"Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Perkeso dan majikan saya Grab Malaysia kerana membantu saya mencarum secara automatik.

"Jadi, saya juga sarankan kepada individu bekerja sendiri supaya mencarumlah dengan Perkeso tidak rugi pun cuma berapa ringgit saja setahun tetapi faedahnya sangat besar jika sesuatu berlaku kepada kita," katanya.

Sepanjang tahun ini setakat 24 Mei lalu, Perkeso merekodkan 622,473 pencarum SKSPS aktif dengan 2,033 kes tuntutan diterima dan diproses daripada 20 sektor membabitkan pembayaran faedah bernilai lebih RM8.93 juta.

Daripada jumlah itu, sektor e-hailing dan p-hailing mencatatkan 631 kes tuntutan dengan nilai pembayaran faedah RM3.3 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2024 @ 7:03 AM