Steven Sim (kanan) ditemui media pada Sesi Penyampaian Tajaan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di Pasar Awam Taman Sri Rambai. FOTO Danial Saad
Steven Sim (kanan) ditemui media pada Sesi Penyampaian Tajaan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di Pasar Awam Taman Sri Rambai. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sudah melunaskan bayaran tuntutan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) berjumlah hampir RM5 juta untuk tempoh tiga bulan tahun ini.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata, ia membabitkan bayaran faedah dinikmati oleh individu yang bekerja di pelbagai sektor dan mencarum dalam SKSPS.

Menurutnya, setakat ini terdapat 500,000 individu yang bekerja sendiri mencarum dalam SKSPS yang disasarkan meningkat kepada satu juta pencarum akhir tahun ini.

"Bagi Belanjawan 2024, kerajaan memperuntukkan RM100 juta untuk membiayai 90 peratus caruman (untuk SKSPS) manakala pencarum hanya membayar 10 peratus.

"Kita berharap ramai yang bekerja sendiri mengambil peluang untuk mencarum dalam skim ini kerana banyak faedah boleh dinikmati, apatah lagi tuntutan yang dibuat bagi tahun ini sahaja antara Januari hingga Mac telah mencatatkan bayaran hampir RM5 juta.

"Ini menunjukkan pentingnya mencarum dan berharap sasaran untuk meningkatkan jumlah pencarum kepada satu juta orang untuk tahun ini tercapai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyampaian SKSPS kepada penjaja di Pasar Awam Taman Sri Rambai, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 2,000 penjaja yang berdaftar dengan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menerima SKPSS secara percuma yang dibiayai oleh wakil rakyat kawasan itu.

Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen dan Pengarah Perkeso Pulau Pinang, Rafidah Abdul Rahim.

Mengulas lanjut, Steven berkata, berdasarkan nilai tuntutan yang dibuat mendapati tahap kesedaran individu berhubung SKSPS mula meningkat.

"Contohnya, bagi penjaja di Bukit Mertajam sebenarnya ada yang sudah tahu dan mereka telah mencarum sendiri.

"Kita akan memperkasakan lagi inisiatif ini dalam menarik lebih ramai individu yang tidak dilindungi untuk melakukan caruman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2024 @ 12:55 PM