Mahaizura Abd Malik


HANYA 35,735 daripada 316,000 pemandu teksi dan e-hailing seluruh negara mendaftar dan mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) sejak diperkenalkan dua tahun lalu.

Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), John R Marin berkata, jumlah itu sangat rendah berbanding 316,000 pemandu yang berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Sehingga hari ini, seramai 35,737 pemandu teksi dan e-hailing berdaftar dan mencarum dalam skim di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).

“Oleh itu, PERKESO melancarkan Ops Patuh selama sebulan bagi tindakan penguatkuasaan ke atas pemandu teksi dan e-hailing yang masih belum mendaftar dan mencarum SKSPS,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Ops Patuh SKSPS di Wisma PERKESO di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, Ops Patuh digerakkan serentak di seluruh negara bermula semalam membabitkan 500 pegawai penguat kuasa bukan bertujuan membebankan golongan pemandu berkenaan, tetapi mahu memberi perlindungan sosial kepada mereka dan keluarga sekiranya berlaku sebarang musibah.

Menurutnya, berdasarkan statistik PERKESO, sebanyak 48 peratus daripada 72,631 kemalangan pada 2018 membabitkan kemalangan dalam perjalanan ketika bekerja.

“Daripada 888 kemalangan maut direkodkan, sebanyak 666 adalah kematian akibat kemalangan perjalanan ketika bekerja.

“Ini bermakna golongan pemandu teksi dan e-hailing ini terdedah kepada risiko tinggi dan bahaya ketika bekerja. Jadi kami memandang serius perkara ini bagi memastikan lebih ramai lagi pemandu dan keluarganya dilindungi,” katanya.

Beliau berkata, kegagalan pemandu mendaftar dan mencarum SKSPS dalam tempoh tujuh hari selepas menerima notis amaran boleh menyebabkan mereka dikenakan kompaun minimum RM1,000 atau maksimum RM5,000.

Menurutnya, kerajaan sedang mempertimbangkan bagi memperluaskan pelaksanaan SKSPS kepada 18 sektor pekerjaan persendirian.

“Kami bercadang perluaskan skim ini dalam 18 sektor pekerjaan termasuk perkhidmatan pengangkutan barangan dan makanan seperti Grab Food dan FoodPanda.

“Namun, itu terpulang kepada kerajaan membuat keputusan dan bergantung sepenuhnya kepada permintaan pihak tertentu melindungi mereka ketika bekerja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 9:18 PM
KAKITANGAN PERKESO melakukan penyamaran untuk mengambil maklumat mengenai SKSPS daripada pemandu Grab pada majlis pelancaran Ops Patuh SKSPS 2019 di Wisma PERKESO, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Aswadi Alias.
KAKITANGAN PERKESO melakukan penyamaran untuk mengambil maklumat mengenai SKSPS daripada pemandu Grab pada majlis pelancaran Ops Patuh SKSPS 2019 di Wisma PERKESO, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Aswadi Alias.