Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor, Zainol Abu (dua dari kiri) menyerahkan bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) kepada keluarga mendiang E Darwin Liew di Taman Paduka, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor, Zainol Abu (dua dari kiri) menyerahkan bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) kepada keluarga mendiang E Darwin Liew di Taman Paduka, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Oleh Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengenal pasti 49,103 individu bekerja sendiri di Selangor masih belum membuat caruman menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Pengarah Perkeso Selangor Zainol Abu berkata, sejak SKSPS dilancarkan Jun 2017, hanya 359,531 individu mendaftar sebagai pencarum.

Menurutnya, jumlah itu merangkumi 70,987 pendaftaran bagi semua sektor pekerjaan sendiri sehingga Mac lalu.

"Golongan yang tiada caruman SKSPS ini antaranya membabitkan pemandu e-hailing, peladang dan peniaga kecil.

"Ia dianggap masih rendah kerana kita mensasarkan 120,000 pencarum baharu menjelang hujung tahun ini.

"Untuk itu, Perkeso berharap semua individu bekerja sendiri tampil membuat caruman demi kebajikan mereka sendiri," katanya kepada media selepas menyerahkan bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) kepada keluarga mendiang E Darwin Liew di Taman Paduka di sini, hari ini.

Terdahulu, media pada 4 Ogos lalu melaporkan, mangsa yang menunggang Yamaha LC 135 maut selepas merempuh belakang sebuah lori membawa muatan kelapa di Kilometer 44, Jalan Klang-Teluk Intan di sini.

Pada masa sama, katanya, pihaknya juga mendapati, tahap kesedaran golongan bekerja sendiri untuk mencarum masih rendah yang mana, antaranya kurang pengetahuan atau maklumat mengenai kepentingan SKSPS sebagai jaminan masa depan jika ditimpa kemalangan.

"Kita perlu sedar, kemalangan sememangnya tidak boleh dijangka terutama ketika sedang bekerja tanpa mengira sektor.

"Disebabkan itu, jumlah caruman SKSPS hanya serendah RM13.10 sebulan dan RM157.20 setahun dengan jumlah pendapatan bulanan minimum RM1,050," katanya.

Zainol berkata, pelbagai faedah bakal diperoleh pencarum seperti perubatan, hilang upaya kekal, pengurusan mayat dan faedah pendidikan.

Maklumat berkaitan SKSPS boleh diperoleh secara dalam talian menerusi https://matrix.perkeso.gov.my atau hadir ke cawangan Perkeso berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2022 @ 3:03 PM