AWANG Hashim (kanan) menyerahkan bantuan bakul makanan kepada pesawah yang terjejas akibat banjir pada Majlis Penyerahan Bantuan Bakul Makanan MAFI-Prihatin MADA .FOTO Noorazura Abdul Rahman
AWANG Hashim (kanan) menyerahkan bantuan bakul makanan kepada pesawah yang terjejas akibat banjir pada Majlis Penyerahan Bantuan Bakul Makanan MAFI-Prihatin MADA .FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman

Pendang: Seramai 337,765 orang bekerja sendiri (OBS) sudah menjadi pencarum aktif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membabitkan kutipan berjumlah RM77 juta sehingga Rabu lalu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, caruman itu dikutip Perkeso selepas kerajaan memperkenalkan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bermula 1 Jun 2017.

"Mereka yang mencarum ini terdiri daripada petani, artis, penjaja, pekerja perkhidmatan dan pelancongan dan lain-lain yang dikategori sebagai OBS, malah seramai 1,752 OBS juga sudah menerima bayaran faedah sebanyak RM5.1 juta.

"Perkeso turut melaksanakan program Geran Padanan SKSPS bermula tahun lalu, bagi menggalakkan lebih ramai pekerja sendiri yang dianggar lebih 810,000 orang di seluruh negara turut mendapat perlindungan sosial dan manfaat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bakul Makanan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) Prihatin Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Mada D-III, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Awang yang juga Ahli Parlimen Pendang berkata menerusi program Geran Padanan SKSPS, pencarum hanya perlu membayar 30 peratus daripada RM232.80 bayaran setahun, manakala baki 70 peratus akan dibiayai kerajaan.

Katanya, bagi meneruskan perlindungan program Geran Padanan SKSPS yang akan tamat 31 Disember depan, kerajaan bercadang meningkat geran padanan kepada 80 peratus mulai tahun hadapan, bermakna pencarum hanya perlu membayar 20 peratus sahaja.

"Disebabkan itu, kita sangat menggalakkan petani atau pesawah sertai SKSPS, ambil kesempatan ini kerana jika berlaku kemalangan ketika dalam perjalanan ke ladang atau sedang bekerja, Perkeso akan membayar faedah kepada mereka.

"Sekiranya ditakdirkan pekerja terbabit meninggal dunia, duit perlindungan pengurusan jenazah RM2,000 akan diberi serta-merta dan kemudian pencen penakat akan diberi kepada isteri sepanjang hayatnya serta kepada anak sehingga umur 18 tahun atau tamat pengajian di universiti," katanya.

Katanya, setakat ini seramai 1,450 petani di Kedah sudah mencarum melalui program SKSPS dan dianggarkan terdapat kira-kira 50,000 petani di kawasan Mada belum membuat caruman dengan usaha menggalakkan mereka menjadi pencarum sedang dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 3:44 PM