GRAB Malaysia dan Foodpanda mendaftarkan hampir kesemua rakan penghantar mereka di bawah program SPS Lindung. FOTO Arkib NSTP
GRAB Malaysia dan Foodpanda mendaftarkan hampir kesemua rakan penghantar mereka di bawah program SPS Lindung. FOTO Arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Lebih 145,000 penghantar barangan dan makanan yang menggunakan motosikal, basikal atau berjalan kaki dan juga rakan penghantar di seluruh negara kini dilindungi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Inisiatif itu tercapai apabila dua platform penyedia perkhidmatan terkemuka, Grab Malaysia dan Foodpanda mendaftarkan hampir kesemua rakan penghantar mereka di bawah program SPS Lindung.

Program yang dilaksanakan hasil kerjasama strategik antara Perkeso dan platform penyedia perkhidmatan ini adalah satu lagi pendekatan proaktif dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk memperluaskan jaringan keselamatan sosial kepada Orang Bekerja Sendiri (OBS), termasuk rakan penghantar ini.

Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, Perkeso menyambut baik dan menyanjung keprihatinan serta rasa tanggungjawab yang dizahirkan oleh kedua-dua peneraju utama platform penyedia perkhidmatan dalam mendaftar dan mencarum rakan penghantar mereka.

"Komitmen dan teladan mereka dalam memberikan perlindungan sosial kepada kelompok rakan penghantar ini, saya percaya, bukan sahaja akan membangkitkan semangat penghantar ini untuk meningkatkan mutu perkhidmatan, malah mendorong platform penyedia perkhidmatan lain untuk mencontohi mereka.

"Saya menyeru semua platform penyedia perkhidmatan untuk turut mengikuti jejak langkah Grab Malaysia dan Foodpanda dalam menzahirkan keprihatinan mereka terhadap rakan penghantar, seterusnya menyokong usaha kerajaan dengan memastikan rakan penghantar mereka didaftar, dicarum dan dilindungi," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurutnya, bagi memastikan golongan ini dilindungi dan menggalakkan mereka mendaftar, kerajaan melalui SPS Lindung, menyediakan bantuan berbentuk pembiayaan penuh caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pelan 2 iaitu RM232.80 untuk tempoh perlindungan selama setahun.

Selaku peneraju dalam kalangan 133 platform penyedia perkhidmatan di Malaysia, Grab Malaysia dan Foodpanda adalah dua platform pertama yang tampil menyahut seruan terbabit dan hasilnya, rakan penghantar di bawah naungan mereka kini dilindungi Skim Bencana Pekerjaan di bawah SKSPS.

Selain itu, beliau berkata, berdasarkan statistik Perkeso, sehingga 9 Julai lalu, 64,773 pencarum aktif terdiri daripada rakan penghantar kini berdaftar dan mencarum di bawah SKSPS.

Kata beliau, jumlah itu merangkumi 39 peratus daripada jumlah keseluruhan OBS aktif yang mencarum dengan Perkeso iaitu 166,189 orang.

Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan 2.72 juta OBS yang direkodkan Jabatan Statistik Malaysia, jumlah OBS yang mencarum dengan Perkeso adalah masih rendah, iaitu hanya 6.1 peratus.

Program SPS Lindung adalah pakej perlindungan Perkeso kepada mereka yang bekerja sendiri yang diumumkan kerajaan semasa pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November 2020.

Antara manfaat perlindungan keselamatan sosial yang disediakan dalam SKSPS adalah Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Faedah Orang Tanggungan (FOT), Faedah Pengurusan Mayat (FPM), Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Pinjaman Pendidikan dan Kemudahan Pemulihan Jasmani dan Vokasional.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 5:56 PM