KEADAAN MPV yang terbabit kemalangan di Jalan Taming Sari. FOTO ihsan Polis
KEADAAN MPV yang terbabit kemalangan di Jalan Taming Sari. FOTO ihsan Polis
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Wanita sarat mengandung maut selepas motosikal dinaiki bersama suaminya berlanggar dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Taming Sari, di sini, kira-kira 8 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, hasil siasatan mendapati ketika kejadian mangsa, Puteri Nur Iman Hamidun, 27, dan suaminya, Muhammad Helmi Abdul Razak, 28, menunggang motosikal dari arah lampu isyarat Pengkalan Rama ke Hospital Melaka.

"Ketika sampai di tempat kejadian sebuah MPV membelok ke kanan dari simpang Jalan Mawar menuju ke Pengkalan Rama menyebabkan penunggang motosikal tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian hadapan sebelah kanan MPV itu.

"Pelanggaran menyebabkan penunggang dan pembonceng jatuh di atas jalan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Christopher berkata, Puteri Nur Iman yang juga pekerja serbaneka menginggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

"Pihak hospital juga memaklumkan bahawa anak dalam kandungan mangsa disahkan meninggal dunia.

"Suami wanita itu yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mengalami luka di bahagian hidung dan bibir serta sakit di seluruh badan, manakala wanita pemandu MPV berusia 41 tahun tidak cedera," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis turut meminta saksi kejadian menghubungi balai polis berhampiran bagi menyalurkan maklumat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2024 @ 4:18 PM