ALLAHYARHAM Pak Sheikh DJ meninggal dunia dalam kemalangan awal pagi tadi. FOTO ihsan pembaca
ALLAHYARHAM Pak Sheikh DJ meninggal dunia dalam kemalangan awal pagi tadi. FOTO ihsan pembaca
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Penyanyi sambilan, Sheik Ali Sheik Abdullah, 66, meninggal dunia selepas motosikal Yamaha LC ditunggang dirempuh sebuah kereta di Jalan Pulau Gadong, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Morten selepas bertemu rakan di Pulau Gadong.

"Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila Proton Persona dipandu seorang lelaki dari arah Pulau Gadong menghala ke Bertam Perdana dipercayai hilang kawalan sewaktu melalui Jambatan Pulau Gadong dan melanggar motosikal mangsa dari arah bertentangan.

"Perlanggaran menyebabkan motosikal itu terseret ke bahu kanan jalan, manakala mangsa tercampak ke kiri jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Christopher berkata, kereta itu pula terbabas ke dalam semak di bahu kanan jalan, namun pemandunya berusia 26 tahun tidak mengalami kecederaan.

"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati lokasi kejadian berhampiran Jambatan Pulau Gadong dan keadaan jalan lurus satu lorong dua hala dan tidak hujan.

"Tiada rakaman CCTV (kamera litar tertutup) di lokasi kejadian dan saksi kemalangan diminta tampil membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat untuk mengetahui punca kematian.

"Sampel darah turut diambil daripada pemandu kereta terbabit bagi ujian alkohol dan dadah," katanya.

Untuk rekod, arwah Sheik Ali atau lebih dikenali 'Pak Sheikh DJ' kerap menyanyi di sebuah restoran di Jalan Hang Tuah dan cukup terkenal dengan keunikan persembahannya yang mesra dan gemar berjenaka dengan pelanggan sambil mendendangkan pelbagai lagu retro mahupun kontemporari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2023 @ 5:11 PM