FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah menyediakan peruntukan tertinggi selama dua tahun berturut-turut bagi program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) kepada murid.

Timbalan Menterinya, Wong Kah Woh berkata, sebanyak RM616 juta diperuntukkan bagi program RMT pada tahun 2022, diikuti RM777 juta untuk tahun 2023 manakala untuk tahun ini RM716 juta.

Menurutnya, program RMT ini disediakan kepada murid kategori miskin tegar, berkeperluan khas dan Orang Asli.

"Kita hendak memastikan anak-anak kita bukan sahaja mendapat sarapan tetapi juga memastikan dari segi menu dan nutrisi makanan itu adalah sesuai untuk pembesaran," katanya semasa sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Chaa Kee Chin (PH-Rasah) yang ingin mengetahui mekanisme pemantauan daripada KPM bagi memantau harga di kantin sekolah.

Chaa berkata, ini susulan terdapatnya rungutan sesetengah pihak berkait perkara itu dan meminta penyelesaian daripada KPM.

Mengulas isu harga dibangkitkan Chaa, Wong berkata, ia dipantau oleh Pejabat Pendidikan Daerah.

"Harga itu dipantau oleh pihak PPD untuk memastikan harga yang ditawarkan di sekolah atau kantin adalah bersesuaian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 2:34 PM