LOKASI kejadian di Pantai Puteri. FOTO Ihsan Polis
LOKASI kejadian di Pantai Puteri. FOTO Ihsan Polis
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Dua remaja lelaki disyaki terbabit lumba haram maut selepas motosikal ditunggangi mereka bertembung sesama sendiri di Pantai Puteri, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, mangsa berusia 18 dan 15 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan itu pada jam 4.18 pagi.

Katanya mangsa yang maut adalah Khairul Nizam Sham,18, dan Muhammad Amirul Hadi Norizan,15, masing-masing menunggang motosikal Yamaha Y15 dan Yamaha Y135 LC.

"Kemalangan berlaku di jalan satu lorong dua hala di Pantai Puteri dari arah TL Tanjung Bruas menghala ke Tangga Batu berdekatan Kampung Tanah Merah Jaya, dekat sini.

"Hasil siasatan lanjut mendapati kemalangan berlaku apabila penunggang motosikal Y15 dari arah TL Tanjung Bruas sedang berlumba bersama motosikal lain dan bertembung dengan motosikal Y135 LC dari arah bertentangan yang juga berlumba dengan dua motosikal lain.

"Akibat pelanggaran kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan di sini.

Christopher berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati keadaan jalan kering, lurus dan rata selain cuaca juga baik.

"Tiada CCTV (kamera litar tertutup) di lokasi kemalangan dan ada saksi bebas yang tampil membantu siasatan.

"Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Katanya mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan pihaknya turut menahan motosikal untuk dihantar pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2022 @ 1:16 PM