Keadaan Honda Accord 2.0L dinaiki mangsa yang remuk selepas bertembung dengan sebuah kereta dan terbabas merempuh pokok di Jalan Kota Laksama, Taman Kota Laksamana Seksyen 2, di sini, kira-kira jam 1 pagi tadi. FOTO IPD Melaka Tengah
Keadaan Honda Accord 2.0L dinaiki mangsa yang remuk selepas bertembung dengan sebuah kereta dan terbabas merempuh pokok di Jalan Kota Laksama, Taman Kota Laksamana Seksyen 2, di sini, kira-kira jam 1 pagi tadi. FOTO IPD Melaka Tengah
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Pelayan restoran maut manakala rakannya parah dalam nahas dua kereta di persimpangan Jalan Kota Laksama, Taman Kota Laksamana Seksyen 2, di sini, kira-kira jam 1 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, Kaunter Aduan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Melaka Tengah dihubungi orang awam pada jam 1.05 pagi berhubung kemalangan membabitkan kereta Honda Accord 2.0L dan Inokom Atos i10 berkenaan.

Menurutnya, mangsa yang terbunuh adalah penumpang Honda Accord 2.0L iaitu Gan Yaw Seng, 33, manakala pemandu yang juga tukang masak restoran, Ong Tiang Xian, 28, parah di bahagian muka.

"Siasatan di tempat kejadian mendapati Honda Accord 2.0L itu sedang dalam perjalanan dari arah Jonker Walk menghala lampu isyarat Taman Kota Laksamana manakala Inokom Atos i10 itu pula dipandu wanita berusia 20 tahun.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila Honda Accord itu yang sedang bergerak lurus bertembung dengan Inokom Atos i10 yang membelok ke kanan lalu terbabas melanggar pokok di tepi jalan laluan bertentangan.

"Pemandu wanita itu tidak mengalami sebarang kecederaan. Bagaimanapun Ong mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut manakala Gan disahkan maut di tempat kejadian oleh pegawai perubatan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Christopher berkata pihaknya sedang mengesan waris simati untuk hadir ke Jabatan Perubatan Forensik dan Bilik Mayat Hospital Melaka untuk proses pengecaman mayat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2023 @ 9:48 AM