KERJA mengeluarkan pesawat dari landasan dijalankan. FOTO ihsan polis
KERJA mengeluarkan pesawat dari landasan dijalankan. FOTO ihsan polis
Nuraliawati Sabri


Melaka: Pelatih juruterbang wanita berdepan detik cemas selepas pesawat Piper 28 dikendalikannya hilang kawalan ketika melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian membabitkan pesawat International Aero Training Academy Sdn Bhd (IATAC) berlaku pada jam 12.16 tengah hari.

"Berdasarkan laporan, pesawat bernombor pendaftaran 9M-ITQ itu yang dikendalikan pelatih berusia 23 tahun sebelum itu dalam latihan penerbangan.

"Ketika melakukan pendaratan, pesawat terbabit dikatakan hilang kawalan di landasan RWY 21," katanya.

Christopher berkata, susulan kejadian itu, pelatih juruterbang terbabit dibawa ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut.

"Bagaimanapun dilaporkan tiada kecederaan dialaminya dan dia hanya merasa sakit di bahagian dada akibat kesan hentakan.

"Selain itu, pesawat terbabit juga sudah berjaya dikeluarkan sepenuhnya dari lokasi kejadian pada jam 12.50 tengah hari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2023 @ 4:37 PM