Steven Sim Chee Keong (dua dari kiri) menyerahkan agihan peruntukan kepada kesatuan sekerja pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) 2024 di Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Steven Sim Chee Keong (dua dari kiri) menyerahkan agihan peruntukan kepada kesatuan sekerja pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) 2024 di Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melanjutkan tempoh pendaftaran dan caruman pekerja oleh majikan sempena Bulan Pemutihan sehingga 30 Jun ini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, perlanjutan selama 30 hari dilaksanakan berikutan sambutan yang menggalakkan daripada majikan serta peningkatan drastik terhadap jumlah pendaftaran dan caruman ketika pelaksanaan Bulan Pemutihan.

"Bagi tempoh dari 15 Mei iaitu pelancaran Bulan Pemutihan sehingga 29 Mei lalu. PERKESO merekodkan lonjakan pendaftaran majikan baharu sebanyak 31.8 peratus atau 7,370 majikan, berbanding tempoh sama pada bulan sebelumnya.

"Bagi pendaftaran pekerja baharu meliputi warga tempatan dan asing pula, peningkatan 34.1 peratus direkodkan meliputi 126,041 pekerja baharu yang berdaftar untuk tempoh sama.

"Perkeso melaksanakan pelbagai inisiatif seperti hebahan melalui media sosial, media konvensional, media elektronik, hebahan menerusi e-mel kepada majikan berpotensi dan pelbagai lagi dalam usaha meningkatkan kesedaran serta memastikan lebih banyak majikan mendaftar dan mencarum," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Majlis Penyerahan Bantuan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) Tahun 2024 Peringkat Zon Tengah di Wisma PKPS di sini hari ini.

Steven berkata, Perkeso melipatgandakan usaha dengan memberi kesedaran menerusi edaran risalah semasa lawatan ke premis majikan khusus untuk Bulan Pemutihan.

Pada masa sama, pihaknya akan melaksanakan operasi dari masa ke semasa secara berterusan bagi memastikan lebih ramai majikan mencarum untuk pekerjanya.

"Sebanyak 11,035 premis majikan dilawati untuk tahun ini berbanding 9,925 pada tahun sebelumnya bagi memastikan kecaknaan dalam melindungi pekerja.

"Justeru, inisiatif perlanjutan Bulan Pemutihan dilihat wajar bagi memberi tempoh yang lebih panjang kepada majikan untuk mendaftar pekerja mereka bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) untuk mengelakkan majikan dikenakan kompaun, pendakwaan dan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) selepas tempoh ini tamat," katanya.

Beliau turut menggesa semua majikan supaya lebih prihatin serta cakna akan kebajikan dan kesejahteraan pekerja berikutan pekerja adalah aset negara yang sewajarnya mendapat manfaat perlindungan yang sewajarnya.

Mengulas mengenai penyerahan bantuan katanya, PHEKS 2024 menerima sejumlah 1,206 permohonan daripada pelbagai kesatuan sekerja di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 369 permohonan bernilai RM3.2 juta diluluskan. Sejumlah 71 permohonan bernilai RM705,000 yang diluluskan adalah untuk PHEKS 2024 Peringkat Zon Tengah meliputi Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan.

"PHEKS adalah satu bentuk bantuan kewangan yang dibayar secara one-off kepada kesatuan sekerja berdaftar di Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 5:27 PM