Norzamira Che Noh


Shah Alam: Semua majikan walaupun hanya mempunyai sekurang-kurangnya seorang pekerja tidak akan terlepas daripada Op Kesan yang dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di seluruh negara yang dilancarkan hari ini.

Operasi besar-besaran itu dilaksanakan untuk mengesan majikan yang tidak mendaftar serta mencarum pekerja mereka walaupun tempoh pemutihan selama sebulan sudah diberikan pertubuhan itu pada Mei lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, tidak terkecuali adalah pengusaha gerai atau peniaga tepi jalan yang mana mereka turut diwajibkan untuk mencarum sekiranya mempunyai pekerja berdasarkan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

DATUK Seri Dr Mohammed Azman (tiga dari kiri) melakukan pemeriksaan ke atas premis perniagaan ketika Ops Kesan di sekitar Seksyen 15 hari ini.  FOTO MOHD ASRI SAIFUDDIN MAMAT
DATUK Seri Dr Mohammed Azman (tiga dari kiri) melakukan pemeriksaan ke atas premis perniagaan ketika Ops Kesan di sekitar Seksyen 15 hari ini. FOTO MOHD ASRI SAIFUDDIN MAMAT

"Jika mereka ada seorang pekerja sama ada kedai tepi jalan (jual) pisang goreng dan nasi lemak pagi-pagi, sila daftar dan carum.

"Tidak ada sesiapa akan terlepas dalam Ops Kesan ini dan (majikan) jangan lihat ini sebagai bebanan. Kalau ada apa yang berlaku kepada pekerja siapa hendak tanggung kehidupan mereka dan keluarganya.

"Kalau ada caruman Perkeso, Insya-Allah dari segi perubatan, pemulihan, hilang upaya dan berlaku kematian (sekiranya), keluarga mereka akan terjamin," katanya Ops Kesan di sekitar Seksyen 15 di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohammed Azman melancarkan Ops Kesan Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) sebelum operasi dimulakan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, caruman Perkeso adalah minima dan tidak akan membebankan majikan yang mana jika diambil gaji minima RM1,200, majikan hanya perlu mencarum sebanyak 1.75 peratus, manakala pekerja 0.5 peratus.

Dalam pada itu, Mohammed Azman berkata, terdapat peningkatan sehingga 15 peratus pendaftaran majikan dan pekerja dalam tempoh sebulan (tempoh pemutihan) pada Mei lalu yang didaftarkan di semua premis Perkeso di seluruh negara.

"Sepanjang sebulan tempoh itu, sebanyak 8,843 majikan baharu tampil mendaftar dengan merekodkan peningkatan memberangsangkan iaitu 15 peratus berbanding dengan jumlah majikan baharu yang mendaftar pada bulan April lalu iaitu sebanyak 7,709 majikan.

"Bagi Ops kesan sehingga 11 pagi tadi, sejumlah 220 kompaun dan tujuh arahan pematuhan dikeluarkan daripada 1,258 majikan yang sudah dilawati pihak kami di seluruh negara," katanya.

Mohammed Azman turut merayu majikan tampil mendaftar dan mencarum pekerja mereka secara sukarela serta tindakan tidak akan diambil kepada mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2022 @ 3:20 PM