FARIHAH Che Husin (kanan) bertanyakan sesuatu dengan seorang majikan mengenai caruman Perkeso kepada pekerja. FOTO Bernama
FARIHAH Che Husin (kanan) bertanyakan sesuatu dengan seorang majikan mengenai caruman Perkeso kepada pekerja. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Terengganu: Bulan pertama pelaksanaan Op Pemutihan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Terengganu, menyaksikan hampir separuh daripada majikan yang diperiksa gagal mendaftar dan mencarum dengan pertubuhan itu, untuk perlindungan keselamatan sosial pekerja mereka.

Pengarah Perkeso Terengganu Farihah Che Husin berkata, jumlah berkenaan, membabitkan 255 majikan daripada 585 pemeriksaan dibuat agensi itu di seluruh negeri sepanjang Mei.

"Pada tahun ini, Perkeso mengadakan Op Pemutihan di seluruh negara selama dua bulan, iaitu bermula 1 Mei hingga 30 Jun, tidak seperti tahun-tahun sebelum ini iaitu hanya selama sebulan.

"Hasil pemeriksaan yang dibuat pada bulan lepas mendapati, 255 atau 43.6 peratus majikan gagal mendaftar dan mencarum dengan Perkeso. Pelbagai alasan diberikan mereka termasuklah tidak tahu kewujudan Perkeso, serta tidak sempat untuk mendaftar," katanya selepas meninjau pelaksanaan Op Pemutihan di sini, hari ini.

Beliau berkata, sepanjang Mei juga, seramai 14 individu yang bekerja sendiri sudah mendaftar dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), dengan jumlah caruman sebanyak RM652.40.

SKSPS mula dikuatkuasakan pada 1 Jun 2017 bagi memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri, membabitkan 19 sektor di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.

Farihah berkata, lagi menerusi Op Pemutihan tahun ini, pihaknya menyasarkan premis yang baharu beroperasi serta perusahaan yang menjalankan perniagaan sehingga lewat malam, dengan menggajikan pekerja tempatan dan warga asing yang layak mencarum dengan Perkeso.

"Op Pemutihan ini sebenarnya beri peluang kepada majikan untuk mendaftar perusahaan dan mencarum pekerja mereka. Mereka tidak akan didenda sekiranya lewat untuk mendaftar asalkan masih dalam tempoh pelaksaan operasi.

"Kita juga tidak kenakan tindakan atau faedah kepada majikan yang mahu selesaikan tunggakan caruman sebelum ini, kerana kami kalau boleh nak semua majikan dan pekerja di Terengganu tidak diabaikan dari segi kebajikan caruman," katanya.

Bagaimanapun, Farihah berkata, tindakan undang-undang akan dikenakan kepada mana-mana majikan yang ingkar untuk berbuat demikian menerusi pelaksanaan Op Kesan yang akan bermula 1 Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Jun 2023 @ 4:21 PM