MOHAMMED Azman. FOTO Arkib NSTP
MOHAMMED Azman. FOTO Arkib NSTP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan melaksanakan bulan pemutihan bermula 1 Mei hingga 30 Jun ini bagi memberi peluang dan ruang kepada majikan supaya mendaftar secara sukarela.

Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, bulan pemutihan ini adalah aktiviti tahunan dan kali ke-14 dilaksanakan pihaknya.

"Program pemutihan secara tradisinya diadakan selama sebulan. Tetapi pada tahun ini, kita memberikan ruang dan peluang yang lebih kepada majikan di luar sana.

"Program pemutihan ini akan dilaksanakan selama dua bulan. Maknanya kita akan memberi peluang kepada majikan yang masih belum mendaftar, dalam tempoh dua bulan ini untuk tampil mendaftar secara sukarela di mana-mana pejabat Perkeso di seluruh negara.

"Kita mempunyai 54 pejabat yang mana mereka boleh hadir untuk mendaftar," katanya pada sidang media di Menara Perkeso, hari ini.

Katanya, dalam tempoh dua bulan ini, majikan yang tampil secara sukarela akan dikecualikan daripada tindakan pengkompaunan, pendakwaan dan faedah caruman lewat bayar (FCLB) walaupun melewati tempoh yang ditetapkan untuk mendaftar dan mencarum.

Mohammed Azman berkata, kebimbangan pihaknya adalah dari segi pendaftaran pekerja asing di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) yang telah masuk ke negara ini.

"Setakat ini kita mempunyai 1.2 juta pekerja asing yang telah didaftar. Kalau berdasarkan statistik pendaftaran yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen, jumlah pekerja asing ini melebihi 1.2 juta.

"Jadi masih ramai lagi pekerja asing di luar sana yang belum didaftar di bawah Skim Keselamatan Sosial di mana kita sedia maklum pekerja asing ini wajib didaftar di bawah Akta 4.

"Bagi majikan yang masih lagi tidak faham atau tidak sedia maklum diminta segera tampil ke hadapan untuk mendaftar pekerja mereka di bawah Akta 4," katanya.

Selain itu katanya, pekerja domestik yang tidak mendaftar di bawah Skim Keselamatan Sosial juga masih ramai.

"Dari statistik kita sedia ada, sekitar 28,808 sahaja pekerja domestik yang didaftar dan percaya angka ini lebih besar.

"Pekerja domestik di luar sana melebihi 100,000. Jadi, masih ramai lagi pekerja domestik ini yang belum didaftar," katanya.

Tegasnya, selepas tarikh pendaftaran tamat pada 30 Jun nanti, pihaknya akan mengerahkan lebih 500 pegawai pemeriksa bagi mengesan majikan yang masih gagal untuk mendaftarkan pekerja mereka.

"Tindakan susulan akan diambil dengan mengeluarkan kompaun. Jika mereka gagal, tindakan untuk mendakwa mereka boleh dilaksanakan.

"Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 12:21 PM