SEMUA majikan digesa untuk mendaftar perusahaan dan pekerja mereka dalam tempoh Bulan Pemutihan bagi mengelakkan sebarang tindakan semasa OP Kesan dijalankan kelak.
SEMUA majikan digesa untuk mendaftar perusahaan dan pekerja mereka dalam tempoh Bulan Pemutihan bagi mengelakkan sebarang tindakan semasa OP Kesan dijalankan kelak.
Ruwaida Md Zain

Pengumuman lanjutan selama 30 hari bagi tempoh pendaftaran dan caruman pekerja sempena Bulan Pemutihan disifatkan peluang keemasan untuk semua majikan di seluruh negara. 

Majikan, Zawra Yunus berkata, semua majikan yang belum mendaftarkan dan mencarum pekerja digesa merebut peluang itu memandangkan lanjutan diberikan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) adalah tempoh yang panjang.

"Saya berpandangan, lebih baik memiliki pekerja berdaftar dengan Perkeso berbanding saya dikompaun RM5,000 atau didakwa sehingga RM10,000 yang amat besar jumlahnya berbanding nilai caruman kepada pekerja.

"Sekurang-kurangnya pekerja dalam jaminan Perkeso sekiranya apa-apa berlaku, namun saya sentiasa berdoa semua pekerja saya sihat dan selamat.

"Saya amat berharap semakin ramai majikan yang mempunyai kesedaran tinggi akan kepentingan serta manfaat Perkeso ini. Saya menyokong ketegasan pihak kerajaan dan Perkeso dalam melaksanakan perkara ini," katanya kepada Harian Metro.

Seorang lagi majikan yang juga pengasas Pusat Tuisyen Aspirasi Dinamik, Low Chee Hum berkata, beliau bersetuju dengan langkah baik Perkeso itu kepada majikan.

"Ada majikan terlupa mencarum untuk pekerja. Saya sendiri, pekerja berhenti kerja pada 2020 kerana Covid-19. Saya terlupa memaklumkan kepada Perkeso.

"Nasib baik ada Op Pemutihan Perkeso yang memberikan peluang menjelaskan tunggakan agar saya bebas daripada dikenakan denda.

"Usaha ini (lanjutan 30 hari) memberikan peluang kepada majikan lalai seperti saya menunaikan tanggungjawab sebagai majikan kepada pekerja.

"Syabas Perkeso, saya juga menggalakkan majikan yang belum daftar pekerja mengambil peluang keemasan ini untuk menunaikan tanggungjawab sebagai majikan," katanya.

Pada 30 Mei lalu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong mengumumkan Perkeso melanjutkan tempoh pendaftaran dan caruman pekerja oleh majikan sempena Bulan Pemutihan sehingga 30 Jun ini.

Beliau berkata, inisiatif pelanjutan Bulan Pemutihan dilihat wajar bagi memberi tempoh yang lebih panjang kepada majikan untuk mendaftar pekerja mereka mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

Ini bagi mengelakkan majikan dikenakan kompaun, pendakwaan dan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) selepas tempoh ini tamat.

Beliau turut menggesa semua majikan lebih prihatin serta cakna dengan kebajikan dan kesejahteraan pekerja berikutan mereka aset negara yang sewajarnya mendapat manfaat perlindungan.

"Majikan boleh mendaftar menerusi dalam talian melalui Portal ASSIST atau hadir ke mana-mana 54 pejabat Perkeso di seluruh negara ataupun hubungi Careline Perkeso di 1-300-22-8000.

"Mereka yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan tindakan kompaun dan pendakwaan, dengan jumlah kompaun yang dikenakan boleh mencecah RM5,000 mengikut kesalahan yang dilakukan," katanya.

Menurutnya, majikan akan dikenakan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) pada kadar enam peratus setahun di atas setiap hari caruman lewat dibayar, ekoran kegagalan mendaftar dan membayar caruman Perkeso.

Selain itu, majikan juga boleh didakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 9:38 AM