MAJIKAN yang layak, tetapi  belum mendaftar dan mencarum  segera berbuat demikian secara sukarela, sama ada menerusi Portal ASSIST atau hadir ke mana-mana 54 pejabat Perkeso di seluruh negara, agar tidak dikenakan tindakan.
MAJIKAN yang layak, tetapi belum mendaftar dan mencarum segera berbuat demikian secara sukarela, sama ada menerusi Portal ASSIST atau hadir ke mana-mana 54 pejabat Perkeso di seluruh negara, agar tidak dikenakan tindakan.

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) menyeru majikan memanfaatkan Bulan Pemutihan untuk mendaftar dan membayar caruman kepada Perkeso sebelum dikenakan tindakan penguatkuasaan mulai 1 Julai ini.

Perkeso dalam kenyataan berkata, Bulan Pemutihan bermula Mei hingga Jun memberi peluang kepada majikan mendaftar perusahaan dan pekerja tanpa dikenakan tindakan sekiranya kelewatan berlaku.

"Mulai Julai, Perkeso bakal melancarkan Ops Kesan untuk menguatkuasakan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) ke atas majikan dan pekerja di negara ini.

"Ops Kesan kali ke-14 ini bertujuan memastikan semua majikan yang menggajikan sekurang-kurangnya seorang pekerja untuk mendaftar.

"Pendaftaran perusahaan dan pekerja dilakukan seperti dalam peruntukan Seksyen 4 dan 5, Akta 4 serta Seksyen 14 dan 16, Akta 800," katanya.

Menurutnya, kegagalan majikan untuk mendaftar adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan kompaun dan dakwaan di bawah Akta 4 dan Akta 800 yang termaktub.

"Bagi majikan gagal membayar kompaun, mereka boleh dijatuhi hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Majikan yang lewat mendaftar dan mencarum juga akan dikenakan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) pada kadar enam peratus setahun atas setiap hari caruman lewat dibayar.

"Kami juga tidak akan berkompromi dengan ketidakpatuhan majikan dan tidak akan mempertimbangkan apa-apa pengecualian daripada tindakan penguatkuasaan terhadap majikan yang gagal mendaftar sebelum tempoh tamat pada 30 Jun ini," katanya.

Menurutnya, dengan tempoh yang masih berbaki kurang sebulan, pihaknya menyeru majikan yang layak, tetapi masih belum mendaftar dan mencarum segera berbuat demikian secara sukarela, sama ada menerusi Portal ASSIST atau hadir ke mana-mana 54 pejabat Perkeso di seluruh negara, agar tidak dikenakan tindakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 7:05 AM