Ops Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di kawasan setinggan Sentul. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Ops Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di kawasan setinggan Sentul. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Raja Noraina Raja Rahim & Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Kerajaan perlu mengekang kemasukan lebih ramai etnik Rohingya berikutan lambakan pendatang asing tanpa izin (Pati) itu kini sudah menjadi wabak seperti barah yang sukar diubati.

Kehadiran mereka pada awalnya dialu-alukan atas dasar kemanusiaan, namun mereka didapati mula 'besar kepala' dan menunjukkan 'taring' apabila bilangan warga asing itu semakin ramai.

Pengerusi Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Novel Lyndon berkata, satu inisiatif diperlukan ketika ini bagi menguruskan etnik berkenaan dengan lebih sistematik dan tersasar.

Menurutnya, kerajaan perlu duduk semeja dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) bagi mencari 'penawar' terbaik bagi mengatasi masalah ini daripada terus berpanjangan tanpa kesudahan.

"Pada pandangan saya, kesan lambakan pendatang asing khususnya etnik Rohingya di Lembah Klang ialah konflik budaya, konflik struktur sosial dan adat resam dengan masyarakat tempatan.

"Keadaan ini jika tidak dikawal boleh mengakibatkan konflik membabitkan fizikal dan sebagainya," katanya.

Novel berkata, berdasarkan kajian ke atas etnik itu, pihaknya mendapati mereka mengalami kesukaran untuk berasimilasi dengan masyarakat tempatan.

Menurutnya, tindakan segelintir warga tempatan terutama majikan yang sering mengeksploitasi golongan terbabit sebagai buruh murahan hanya mengeruhkan lagi keadaan.

Katanya, etnik itu perlu diletakkan di penempatan tersusun dan lebih penting berdaftar menerusi satu pangkalan data yang sistematik bagi memudahkan pemantauan serta kawalan oleh pihak berkuasa.

"Perkara itu penting bagi menjaga kesejahteraan serta keselamatan semua pihak termasuk masyarakat tempatan dan Pati itu sendiri kerana sehingga kini tiada cara mudah untuk mengusir keluar mereka secara diplomasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 12:16 PM