PATI yang berjaya ditahan semula di kilometer (km) 168.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Jawi selepas melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau. FOTO Danial Saad
PATI yang berjaya ditahan semula di kilometer (km) 168.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Jawi selepas melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau. FOTO Danial Saad
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Cadangan mewujudkan peluang pekerjaan kepada etnik Rohingya bukan langkah sesuai untuk menyelesaikan isu membabitkan pelarian itu sebaliknya hanya membebankan kerajaan.

Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) Datuk Seri Halim Ishak berkata, pihak kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) seharusnya memikirkan pelan pengusiran etnik Rohingya dari negara ini bukannya membuang masa menyediakan peluang pekerjaan bagi golongan itu.

"Krisis budaya dan onar antara etnik Rohingya dan penduduk tempatan di negara ini banyak mendapat rungutan dan kecaman daripada rakyat Malaysia terutama di pasar-pasar borong seluruh negara.

"Saya berpendapat ia satu yang tidak munasabah apabila pihak KSM dan KDN berusaha memikirkan peluang pekerjaan bagi etnik Rohingya sedangkan kerajaan yang sedang menghadapi krisis ekonomi terpaksa menanggung beban kewangan untuk kos mengawal selia pendatang asing tanpa izin (Pati) di depot tahanan imigresen dan kem tahanan sementara.

"Lambakan Pati dari negara sumber sedia ada di Malaysia yang berjumlah jutaan sepatutnya diselesaikan segera oleh KDN dan KSM," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan KSM dan KDN sedang mengkaji secara mendalam sebarang pelan bagi mewujudkan peluang pekerjaan buat etnik Rohingya di negara ini atas faktor keselamatan.

Menurutnya, KSM juga perlu berusaha lebih keras lagi untuk mengatasi isu peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia yang tiada pekerjaan supaya dapat mengimbangi ekonomi negara yang agak tenat ketika ini.

Sementara itu, Setiausaha Lembaga Pelindung Kebajikan Pengguna Malaysia, Datuk Sheeda Romli berkata, kerajaan perlu membuat penelitian mendalam dan kajian menyeluruh sebelum memutuskan melaksanakan perkara berkenaan.

"Kita tidak mahu ada faktor yang boleh menggugat keselamatan rakyat Malaysia dan ini juga boleh mengelakkan lebih ramai pelarian khususnya pelarian Rohingya.

"Sekarang ini pun kita sudah merasa tidak selesa dengan kewujudan warga asing sedia ada dan apa yang berlaku di Depot Imigresen Sementara Relau baru-baru ini amat membimbangkan.

"Saya berharap pihak kerajaan lebih memperketatkan kawalan sempadan atau meletakkan syarat lebih ketat supaya pelarian ini tidak mudah masuk ke negara kita secara tidak sah," katanya.

Rabu lalu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan dilaporkan berkata, kajian secara terperinci itu penting bagi mengelakkan lebih ramai pelarian Rohingya datang ke Malaysia jika pelan itu dilaksanakan.

Terdahulu seramai 528 Pati etnik Rohingya melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau, 4.30 pagi, Rabu lalu selepas memecahkan pintu blok dan jeriji penghadang.

Insiden itu mengakibatkan enam pelarian maut dilanggar kenderaan ketika melintasi Kilometer 168 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran kawasan Jawi, Pulau Pinang.

Polis kini giat memburu 130 tahanan etnik Rohingya yang masih bebas termasuk dalang kepada insiden berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2022 @ 4:12 PM