GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Persatuan Rohingya Malaysia Cawangan Kedah merayu campur tangan kerajaan dalam menangani isu etnik Rohingya di dalam tahanan depoh imigresen di negara ini berikutan sebahagian daripada mereka didakwa memiliki dokumen Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Pengerusinya Yusof Ali berkata, tindakan tahanan etnik Rohingya melarikan diri dari Depoh Sementara Imigresen Sungai Bakap di Relau, Bandar Baharu pagi hari ini berkemungkinan disebabkan mereka sudah terlalu lama berada dalam depoh berkenaan.

"Ada antara tahanan ini mempunyai dokumen seperti surat sementara dan kad UNHCR .

"Namun apabila surat atau kad itu ditunjukkan kepada pihak berkuasa, anggota bertugas akan menangkap mereka dan mendakwa surat atau kad itu palsu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Yusof berkata, kerajaan perlu mengadakan perbincangan dengan UNHCR untuk memberi penyelarasan tempoh dokumen kepada etnik Rohingya agar mereka tidak perlu menunggu terlalu lama untuk mendapatkan kad UNHCR.

Katanya, terdapat pelarian etnik itu terpaksa menunggu sehingga lima tahun untuk mendapatkan kad itu.

"Ada antara mereka ini sebenarnya mempunyai ahli keluarga seperti isteri dan anak-anak di dalam depoh, masyarakat Rohingya sebenarnya berada dalam keadaan ketakutan di sini, berbanding pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negara lain.

"Tiada negara yang mahu terima etnik kami, sekarang semuanya bergantung kepada atas budi bicara kerajaan Malaysia," katanya.

Yusof berkata, dia difahamkan terdapat lebih 3,000 tahanan etnik Rohingya berada di dalam beberapa depot imigresen di negara ini.


Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 3:23 PM