Alexander (tengah) bersama Saarani Mohamad bergambar pada  majlis Pembukaan Seksyen 11 Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) Persimpangan Bertingkat Taiping Selatan Persimpangan Bertingkat Beruas) di Taiping. FOTO L MANIMARAN
Alexander (tengah) bersama Saarani Mohamad bergambar pada majlis Pembukaan Seksyen 11 Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) Persimpangan Bertingkat Taiping Selatan Persimpangan Bertingkat Beruas) di Taiping. FOTO L MANIMARAN
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Taiping: Lebuh Raya Pesisir Pantai Barat (WCE) dari Taiping ke Beruas boleh digunakan secara percuma selama dua bulan bermula tengah malam ini sehingga 11 Mei depan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, laluan baru secara percuma itu bersempena Ramadan dan Aidilfitri.

Beliau mengumumkan perkara itu ketika merasmikan Seksyen 11, Persimpangan Bertingkat Taiping Selatan ke Persimpangan Beruas, WCE yang akan dibuka bermula 12.01 tengah malam ini.

"Pembukaan malam ini melengkapkan keseluruhan bahagian WCE di Perak yang membabitkan sebanyak empat pakej jajaran iaitu Seksyen 8, 9, 10 dan 11.

"Kita berterima kasih kepada pihak konsesi WCE dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk pemberian tol percuma selama dua bulan bermula 12.01 tengah malam ini sehingga 11 Mei ini iaitu sempena Ramadan dan Aidilfitri ini yang mana ianya juga adalah permintaan daripada Menteri Besar Perak (Datuk Seri Saarani Mohamad).

"Pemberian tol percuma ini berbeza daripada tol di tempat lain iaitu sehingga dua bulan kerana mengambil kira ketibaan Ramadan dan musim perayaan Aidilfitri yang lazimnya dirayakan lebih panjang," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian itu.

Hadir sama ke majlis itu adalah Saarani; selain Ketua Setiausaha KKR, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad;

Laluan WCE Seksyen 11 yang dibuka kali ini membabitkan jajaran sepanjang 35.5 kilometer (km) dengan kos pembinaan RM422 juta menghubungkan pengguna secara terus dari lebuhraya PLUS di Plaza Tol Changkat Jering ke Beruas.

Ia dijangka dapat menjimatkan masa perjalanan dari Changkat Jering ke Beruas dengan hanya mengambil masa 20 minit berbanding 55 minit melalui laluan sedia ada.

Secara keseluruhannya merentasi jalan sepanjang 233km dari Banting, Selangor ke sini, WCE yang mula dibina pada Ogos 2014 menelan kos RM5.044 bilion dengan RM1.922 bilion kos bagi pembinaan pakej jajaran di Perak manakala selebihnya RM3.122 bilion pakej pembinaan jajaran di Selangor.

Terdahulu dalam ucapannya Alexander berkata, selaras dengan misi kementeriannya untuk memperkasakan infrastruktur dan memperluaskan rangkaian jalan raya, WCE dibina dengan matlamat sebagai laluan alternatif dalam mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas sekali gus menambah baik jaringan perhubungan negara.

Katanya, justeru diharapkan WCE menjadi pilihan laluan alternatif kepada sedia ada dari Lembah Klang ke wilayah Utara terutamanya bagi penduduk di persisiran pantai barat semenanjung Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, Alexander berkata sehingga kini sebanyak 12,245 aduan membabitkan pelbagai isu diterima oleh KKR menerusi pelaksanaan Program MYJalan.

"Daripada jumlah itu aduan di bawah seliaan KKR dan Jabatan Kerja Raya (JKR) meliputi 25.91 peratus atau 3,173 aduan dengan ia akan diambil tindakan secepat mungkin.

"Manakala bagi aduan selebihnya iaitu meliputi 74 peratus atau 9,072 aduan yang bukan di bawah kendalian KKR, ia disalurkan kepada pihak yang berkenaan iaitu kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2024 @ 2:37 PM