⁠Pegawai JPJ menimbang berat lori treler yang disyaki membawa lebih muatan menerusi Op Khas Mammoth 2.0 di sekitar Jalan KLIA di sini, semalam. FOTO AIMAN DANIAL MOHD HOOD AKTHA
⁠Pegawai JPJ menimbang berat lori treler yang disyaki membawa lebih muatan menerusi Op Khas Mammoth 2.0 di sekitar Jalan KLIA di sini, semalam. FOTO AIMAN DANIAL MOHD HOOD AKTHA
Raja Noraina Raja Rahim


Sepang: Taktik pemandu memberhentikan lori di tepi jalan kononnya mengalami masalah teknikal bagi mengelak diperiksa, tidak berhasil apabila diarah mendapatkan khidmat trak penunda.

Lori membawa muatan pasir itu ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana disyaki lebih muatan sebelum diarah ke lokasi timbang, namun pemandu lelaki terbabit memberi alasan kenderaan tidak dapat bergerak.

Bukan itu saja, terdapat juga pemandu yang ditahan merayu tidak dikenakan tindakan kerana mencari pendapatan lebih.

Lelaki berusia 44 tahun itu berkata, dia bekerja sebagai pemandu lori membawa muatan pasir dan memperoleh pendapatan kira-kira RM4,000 sebulan.

"Saya hanya dibayar 20 peratus dari jumlah keseluruhan muatan dibawa dan sehari saya buat empat kali perjalanan dengan upah diterima kira-kira RM200 sehari.

"Kalau saya bawa lebih, jadi lebih bayaran diterima. Namun jika disaman pihak berkuasa, majikan akan potong gaji saya," katanya.

Kenderaannya antara tujuh kenderaan berat yang ditahan atas pelbagai kesalahan terutama lebih muatan dalam Op Khas Mammoth 2.0 di Jalan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, operasi yang bermula jam 4 pagi itu dijalankan susulan aduan dan risikan sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, seramai 35 pegawai dan anggota yang terbabit operasi menjalankan pemantauan di kawasan sekitar sebelum menahan kenderaan berat yang disyaki membawa lebih muatan untuk pemeriksaan lanjut.

"Hasil pemeriksaan, sebanyak 12 notis dikeluarkan kepada pemilik dan pemandu kenderaan yang gagal mematuhi undang-undang iaitu membawa muatan lebih antara 35 hingga 94 peratus, selain pelbagai kesalahan lain termasuk tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.

"JPJ menyita sebuah kenderaan berat kerana kesalahan lebih muatan yang ekstrim seperti batu, pasir, tanah dan arang batu," katanya ketika ditemui di lokasi timbang.

Lokman berkata, kesemua yang ditahan disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

Beliau berkata, pihaknya tidak berkompromi dalam penguatkuasaan undang-undang jalan raya yang membabitkan risiko keselamatan nyawa dan harta pengguna lain dan akan meneruskan usaha penguatkuasaan tegas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 1:14 PM