- Foto hiasan
- Foto hiasan
Juwan Riduan

Sandakan: Angkara mabuk, seorang pekerja ladang warga asing maut ditetak oleh rakannya sendiri dalam kejadian di rumah kongsi pekerja di sebuah ladang kelapa sawit di Segaliud, di sini, Rabu lalu.

Mayat lelaki berusia 43 tahun itu ditemukan di belakang rumah kongsi pekerja di ladang berkenaan oleh pekerja, kira-kira jam 6 pagi, Khamis lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan K Ramasamy berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan digerakkan ke lokasi kejadian.

Katanya, hasil siasatan mendapati mayat terbabit adalah warga asing dibunuh dengan kesan tetakan di bahagian belakang kepala dan leher.

"Siasatan awal mendapati pada 10 Julai lalu, mangsa yang juga pekerja ladang sawit bersebelahan datang ke rumah kawannya di tempat kejadian dipercayai untuk minum minuman keras.

"Dipercayai ketika mangsa minum bersama rakan-rakannya, mangsa ditetak oleh salah seorang rakannya dengan menggunakan senjata tajam," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, sejurus kejadian berlaku, suspek yang juga seorang lelaki warga asing melarikan diri dan usaha sedang giat dilaksanakan oleh polis bagi mengesan dan menangkap suspek.

"Hasil pemeriksaan di tempat kejadian juga mendapati mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan hanya disedari oleh pekerja ladang pada keesokan paginya.

"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 5:53 PM