Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (tengah) menunjukkan buku yang mengandungi senarai 20 Koperasi Terbaik Sarawak 2023 pada majlis perasmian Hari Koperasi Negara Peringkat Sarawak di Kuching, hari ini. FOTO MOHD ROJI KAWI
Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (tengah) menunjukkan buku yang mengandungi senarai 20 Koperasi Terbaik Sarawak 2023 pada majlis perasmian Hari Koperasi Negara Peringkat Sarawak di Kuching, hari ini. FOTO MOHD ROJI KAWI
Mohd Roji Kawi


Kuching: Kerajaan Sarawak akan mewujudkan pangkalan data yang mengandungi semua maklumat berkenaan usahawan serta koperasi di negeri ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ia bertujuan memastikan perkongsian data dan penyelarasan maklumat dapat dilakukan semua agensi berkaitan sama ada agensi kerajaan negeri atau Persekutuan.

Beliau berkata, ketika ini semua agensi berkaitan sedang mengemas kini maklumat usahawan serta koperasi untuk disimpan di dalam pangkalan data itu yang dijangka akan lengkap sepenuhnya pertengahan tahun depan.

"Pangkalan data itu penting untuk kita mengetahui maklumat lengkap sesebuah syarikat yang diusahakan oleh seorang usahawan atau koperasi terutamanya apa bidang perniagaan yang mereka jalankan

"Menerusi pangkalan data itu juga kita mengetahui bantuan apa yang mereka terima selain mengenalpasti sama ada bantuan kewangan yang disalurkan memberi manfaat kepada perusahaan mereka.

"Malah ia juga dapat mengelakkan pertindihan pemberian geran oleh agensi-agensi kepada usahawan atau koperasi yang sama," katanya.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian sambutan Hari Koperasi Negara peringkat Sarawak di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata menerusi pangkalan data itu juga akan dapat mengenal pasti koperasi yang tidak aktif khususnya koperasi mikro di kawasan luar bandar.

"Kita akan membuat pemantauan bagi mengetahui apa sebenarnya aspek yang membawa kepada kegagalan usahawan dan bagi koperasi yang tidak aktif biasanya berpunca pengurusan yang tidak cekap.

"Apabila maklumat itu diperoleh, mudah untuk kita mengarahkan agensi tertentu untuk bertindak membantu mereka, " katanya.

Menurutnya lagi, dalam memperkasa gerakan koperasi di Sarawak, semua agensi berkaitan bersedia memberi bantuan berterusan kepada koperasi yang menunjukkan potensi untuk berkembang.

"Kita mahu koperasi yang sudah berjaya agar terus mencapai kejayaan yang lebih besar dan mana yang kurang berjaya, kita juga akan memberikan bantuan untuk mereka kembali kukuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 6:08 PM