POLIS menahan tujuh lori 'tipper' menerusi Op Perdagangan yang dijalankan di sekitar bandar raya Johor Bahru. FOTO Ihsan Polis Johor
POLIS menahan tujuh lori 'tipper' menerusi Op Perdagangan yang dijalankan di sekitar bandar raya Johor Bahru. FOTO Ihsan Polis Johor
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Polis menahan tujuh lori 'tipper' yang membawa muatan secara bahaya menerusi Op Perdagangan yang dijalankan di sekitar bandar raya ini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Johor, Superintendan M Kumarasan, berkata operasi yang bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah hari itu, menyasarkan lori membawa muatan batu atau pasir.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati pemandu dan tonto membawa melebihi had yang ditetapkan.

"Kesemua lori yang ditahan dirujuk ke Stesen Timbang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk proses timbang berat sebelum diambil tindakan mengikut Seksyen 57 (3) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

"Sikap sesetengah pemandu dan pengusaha syarikat lori yang membawa muatan secara bahaya dan melampau sehingga mengabaikan aspek keselamatan pengguna jalan raya yang lain, mendatangkan kegusaran kepada orang awam.

"Jika sabit kesalahan, pemilik iaitu pengendali berlesen boleh dikenakan denda tidak kurang RM 1,000 dan tidak melebihi RM 500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

"Bagi tempoh Januari hingga Oktober lalu, operasi dijalankan secara konsisten di seluruh daerah Johor menunjukkan perubahan yang sangat positif," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 167 operasi dilaksanakan dengan 246 lori yang ditimbang, manakala daripada jumlah itu 220 didapati melebihi muatan yang membawa kepada kesalahan APAD 2010.

Katanya, majoriti pemandu dan pemilik kenderaan perdagangan mula peka dan sedar terhadap peraturan dan undang-undang kesan daripada penguatkuasaan berterusan dan hukuman setimpal yang dikenakan terutama bagi kesalahan membawa muatan melebihi had mengikut APAD 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 10:55 AM