PENGERUSI Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal. FOTO ASROL AWANG
PENGERUSI Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal. FOTO ASROL AWANG
Asrol Awang


Kuantan: Seramai 560 atlet Sukan Malaysia (Sukma) Pahang dinasihati tidak terlalu teruja dalam latihan hingga boleh menyebabkan kecederaan ketika temasya Sukma Sarawak 2024 hanya berbaki kira-kira sebulan sahaja lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, dalam keterujaan mengejar sasaran pingat, disiplin diri ketika berlatih perlu diterapkan.

"Oleh itu, saya minta Majlis Sukan Pahang (MSP) memantau secara rapi persiapan atlet untuk mengelak mereka mengalami kecederaan yang tidak diingini hingga menjejaskan persiapan ke Sukma Sarawak.

"Walaupun persiapan itu penting tetapi untuk mengelak kecederaan juga perlu diambil kira memandangkan Sukma Sarawak hanya berbaki kira-kira sebulan sahaja lagi.

"Saya minta atlet mengikuti latihan seperti yang ditetapkan jurulatih untuk memastikan mereka sentiasa berada pada prestasi terbaik," katanya.

Pada temasya sukan kali ini, kontinjen Pahang menyasarkan 40 pingat emas dan berada di kedudukan lima terbaik berbanding 22 emas, 21 perak dan 27 gangsa dan kedudukan kesembilan keseluruhan pada Sukma 2022.

Bagaimanapun, Fadzli tidak boleh terlalu mendesak atlet mencapai sasaran itu kerana sebahagian besar atlet yang disenaraikan adalah muka baharu.

"Tetapi kontinjen Pahang akan memberikan saingan untuk sekurang-kurangnya dapat memperbaiki pencapaian Sukma 2022 di Kuala Lumpur," kata Fadzli.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 5:55 PM