Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang menjalankan pemeriksaan lori dalam Ops Tutup. FOTO / ihsan JPJ Pahang
Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang menjalankan pemeriksaan lori dalam Ops Tutup. FOTO / ihsan JPJ Pahang
Asrol Awang

Kuantan: Sebanyak 90 saman dikeluarkan dalam Ops Tutup Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang selama tiga hari yang berakhir semalam.

Pengarah JPJ Pahang Kamarul Iskandar Nordin berkata, operasi itu dilaksanakan di Jalan Gambang-Paloh Hinai, Pekan dan sekitar kawasan perlombongan Pasir Ganchong Lamir, Pekan.

Menurutnya, antara kesalahan yang dilakukan adalah lebih muatan, tiada perlindungan insurans, lebih muatan dan lain-lain kesalahan.

"Sepanjang tiga hari itu, sebanyak 263 kenderaan diperiksa untuk memastikan pemandu dan pengusaha syarikat kenderaan yang menjalankan aktiviti pengangkutan barangan mematuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan.

"Ia seperti yang digariskan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan syarat Lesen Pengendali mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

"Lokasi ini dikenal pasti antara laluan utama kenderaan membawa muatan berat beroperasi mengangkut pasir dan muatan kelapa sawit secara tidak selamat.

"Penguatkuasaan yang dilaksanakan adalah secara statik dan rondaan menggunakan kenderaan tanpa logo membabitkan 22 pegawai dan anggota.

"Lori yang ditahan ditimbang oleh Unit Penguatkuasaan Lebih Muatan (UPLM) JPJ Pahang dengan menggunakan unit timbang mudah alih dan juga dihantar timbang di Stesen Penguatkuasa Paloh Hinai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam operasi itu juga, beliau berkata, sebanyak 20 kes lebih muatan dikesan iaitu enam daripadanya dikenakan tindakan mengikut Akta APAD 2010.

Justeru, katanya, semua pengguna jalan raya di negeri ini terutama pemandu kenderaan barangan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya bagi mengelakkan daripada diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2022 @ 4:15 PM