Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (dua kanan) bersama Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi (kanan) menerima buku modul Pra Tahfiz pada majlis Pelancaran Program Pra Tahfiz Peringkat KEMAS Negeri Terengganu Universiti Malaysia Terengganu (UMT). FOTO GHAZALI KORI
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (dua kanan) bersama Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi (kanan) menerima buku modul Pra Tahfiz pada majlis Pelancaran Program Pra Tahfiz Peringkat KEMAS Negeri Terengganu Universiti Malaysia Terengganu (UMT). FOTO GHAZALI KORI
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Masih banyak pusat tahfiz di seluruh negara tidak berdaftar sekali gus menimbulkan pelbagai risiko termasuk soal keselamatan pelajar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan pusat pengajian itu tidak berdaftar seperti tidak dapat mengikuti syarat atau prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa.

Beliau berkata, kegagalan itu menimbulkan pelbagai risiko kepada pelajar terutama daripada sudut keselamatan dan menyeru semua pengendali pusat tahfiz untuk segera berbuat demikian demi menjaga kebajikan pelajar.

"Di seluruh negara, terdapat 1,199 maahad tahfiz yang berdaftar namun lebih banyak yang tidak didaftarkan.

"Ini kerana sama ada mereka tidak mahu mendaftarkan maahad tahfiz berkenaan kerana syarat-syarat yang ditentukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia tidak dapat diikuti.

"Ini akan menimbulkan kekhuatiran jika berlaku kebakaran atau sebarang insiden sebagaimana kita lihat di sebuah maahad tahfiz di Keramat, Kuala Lumpur yang menyebabkan ramai pelajar terperangkap," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Pra Tahfiz Peringkat Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Terengganudi Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, pihaknya turut menyasarkan kira-kira 140,000 murid Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) akan menjadi 'huffaz cilik' menjelang 2026 menerusi Program Tabika Pra Tahfiz di bawah KEMAS.

Beliau berkata, pendidikan al-Quran itu menjadi teras utama dalam kemenjadian kanak-kanak yang beragama Islam selain daripada kemahiran sedia ada yang diperlukan sebagai persediaan masuk ke Tahun Satu.

"Program Pra Tahfiz dilaksanakan KEMAS landasan terbaik untuk menanamkan kecintaan terhadap al-Quran sejak kecil supaya kanak-kanak itu membesar dengan nilai murni yang terpahat dalam jiwa mereka," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 6:26 PM