LOKMAN (kiri) bersama pegawainya memeriksa muatan lori pada operasi khas Kenderaan Berat di Stesen Penguat Kuasa JPJ Ijok. FOTO Hazreen Mohamad
LOKMAN (kiri) bersama pegawainya memeriksa muatan lori pada operasi khas Kenderaan Berat di Stesen Penguat Kuasa JPJ Ijok. FOTO Hazreen Mohamad
Raja Noraina Raja Rahim


Sungai Buloh: "Saya mahu cari makan, kasihanlah pemandu saya OKU (orang kurang upaya)," rayu pemilik lori yang ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan Kuala Selangor-Sungai Buloh di sini, hari ini.

Lelaki berusia 50-an terbabit memberi alasan itu bagi mengelak dikenakan tindakan selepas lori miliknya dikesan tidak memiliki cukai jalan dan insurans serta tidak menjalani pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Kenderaan itu antara tujuh kenderaan berat yang ditahan pegawai daripada Pasukan Khas Lebih Muatan JPJ Putrajaya menerusi Operasi Khas Lebih Muatan yang bermula kira-kira jam 5 pagi.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, operasi dijalankan selepas risikan susulan aduan orang awam mengenai kenderaan berat membawa lebih muatan di sekitar Sungai Buloh.

"Hasil risikan dijalankan mendapati terdapat kenderaan berat membawa lebih muatan yang boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain, malah boleh menyebabkan kerosakan jalan.

"Susulan itu, pasukan khas menjalankan operasi dan menahan enam kenderaan berat atas pelbagai kesalahan terutama membawa lebih muatan, antara 60 hingga 93 peratus," katanya ketika ditemui selepas menyertai operasi di Stesen Penguatkuasa JPJ Ijok di sini, hari ini." katanya ketika ditemui selepas menyertai operasi di Stesen Penguat kuasa JPJ Ijok di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah (Penguatkuasa) JPJ, Dr Azmi Awang dan Ketua Penolong Pengarah (Operasi) JPJ, Norazlan Ibrahim.

Mengulas lanjut, Lokman berkata, pemeriksaan lanjut pihaknya mendapati terdapat pengusaha lori melakukan kesalahan berulang membawa lebih muatan.

"Sikap degil pengusaha lori ini disebabkan oleh ketamakan mereka untuk mengaut keuntungan berlipat ganda.

"Sebagai contoh, sekali perjalanan dengan muatan biasa hanya dapat untung RM300 tapi jika muatan dua kali ganda boleh dapat RM600," katanya.

Katanya, JPJ memandang serius kesalahan itu dan tidak akan berkompromi dengan pengusaha lori yang membawa lebih muatan kerana berisiko mengakibatkan kemalangan maut.

Beliau berkata, semua lori berkenaan disita untuk siasatan lanjut mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 4:55 PM