Noor Hidayah Tanzizi

Teluk Intan: Terpaksa akur pada arahan majikan walaupun tahu lori dipandu tiada cukai jalan sejak lebih 12 tahun lalu.

Begitu alasan diberikan pemandu lori sawit apabila ditahan di Plaza Tol Teluk Intan, Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE), di sini, hari ini.

Terdahulu, lelaki berusia 41 tahun yang turut membawa lebih muatan itu cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan polis dan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada 11.30 pagi dalam Op Perdagangan (timbang berat).

Lori berkenaan antara 10 kenderaan berat yang ditahan dalam operasi dilakukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak dan JPJ Perak di Teluk intan dan Hutan Melintang bermula 8 pagi.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, operasi dilakukan bagi mengenal pasti kenderaan berat membawa lebih muatan dan kesalahan lalu lintas lain terutama ketika menjelang Aidilfitri.

AHMAD Adnan (kanan) dan Ahmad Tarmizi menunjukkan keadaan uzur lori muatan sawit yang tiada cukai jalan lebih 12 tahun di IPD Hilir Perak. Foto Noor Hidayah Tanzizi
AHMAD Adnan (kanan) dan Ahmad Tarmizi menunjukkan keadaan uzur lori muatan sawit yang tiada cukai jalan lebih 12 tahun di IPD Hilir Perak. Foto Noor Hidayah Tanzizi

Menurutnya, pemeriksaan mendapati kenderaan berat berkenaan kebanyakannya membawa lebih muatan ditetapkan dan kesalahan lalu lintas lain termasuk tiada cukai jalan.

"Sebuah lori didapati tiada cukai jalan lebih 12 tahun dengan keadaan kenderaan itu sudah uzur termasuk tayar botak.

"Pemandu berkenaan mempunyai lesen memandu dan dia mendakwa mengikut arahan majikan yang mahu lori terbabit terus beroperasi," katanya pada sidang media di IPD Hilir Perak, di sini, hari ini.

Ahmad Adnan berkata, pihaknya turut menyita lima kenderaan berat kerana salah guna permit, beroperasi ketika permit ditahan dan tiada lesen memandu, selain mengeluarkan lima saman, manakala JPJ juga mengeluarkan lima saman.

Menurutnya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 57(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (lebih muatan) dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JPJ negeri, Ahmad Tarmizi Saad berkata, lori yang dikesan tiada cukai jalan sejak lebih 12 tahun lalu juga didapati tiada lesen pengendali (untuk syarikat) dan lesen pembawa (untuk kenderaan).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 4:34 PM