Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar ketika sidang media selepas program Jelajah Madani Ulama’ dan Umara’ Peringkat Negeri Zon Utara Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru Raya, di sini hari ini. FOTO L Manimaran
Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar ketika sidang media selepas program Jelajah Madani Ulama’ dan Umara’ Peringkat Negeri Zon Utara Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru Raya, di sini hari ini. FOTO L Manimaran
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Tindakan merujuk perincian Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 kepada Majlis Raja-Raja adalah jalan terbaik dalam memastikan perbincangan mengenainya didasarkan kepada fakta dan bukan emosi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata ia jalan terbaik memandangkan pemakaian RUU itu hanya meliputi negeri Wilayah Persekutuan yang tidak beraja sebaliknya Yang Di-Pertuan Agong selaku ketua agama Islam bagi wilayah itu.

"Maknanya nanti bermula daripada Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan, kemudian dibawa kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan kemudian kepada majlis Majlis Raja-Raja yang mana itulah saluran dalam konteks perkara berkaitan agama Islam.

"Di bawah perlembagaan kita perlu jelas bahawa agama Islam terletak di bawah kuasa negeri-negeri. Maknanya bagi negeri-negeri yang tiada Sultan, (negeri) itu di bawah kuasa Yang Di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam... Dalam konteks RUU Mufti ini, pemakaian RUU itu adalah di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

"Tidak salah dalam konteks kita untuk berbahas, berbincang, dan untuk memberikan pandangan cuma saya mengharapkan perbincangan ini hendaklah didasarkan kepada fakta dan bukan didasarkan kepada emosi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media selepas program Jelajah Madani Ulama' dan Umara' Peringkat Negeri Zon Utara Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru Raya, di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini; Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim; dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Khamis lalu, media melaporkan Perdan Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor memaklumkan perincian mengenai RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 2 Julai lalu akan dirujuk kepada Majlis Raja-Raja minggu hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 6:39 PM