Mohamad Hasan beramah mesra bersama perwakilan UMNO bahagian Tenggara. FOTO OMAR AHMAD
Mohamad Hasan beramah mesra bersama perwakilan UMNO bahagian Tenggara. FOTO OMAR AHMAD
Omar Ahmad


Kota Tinggi: Tiada jaminan UMNO akan bersama dengan mana-mana gabungan politik untuk berdepan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti keramat itu tidak terikat dengan sebarang parti untuk bergabung dalam PRU16.

"Kita hanya terikat dengan perjanjian untuk menubuhkan kerajaan Perpaduan bagi menguruskan negara.

"Ketika ini, kita perlukan kerajaan yang kuat dan mantap," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tenggara di Dewan Sri Sayong, Felda Sungai Sayong di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Bahagian UMNO Bahagian Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Bagaimanapun, Mohamad berkata perkara tersebut boleh diputuskan semasa PRU16 nanti, berdasarkan kekuatan dan jumlah kerusi dimenangi UMNO.

"(Ada) yang kata kita akan gabung dengan PH (Pakatan Harapan), tengok PRU16, kalau (Parlimen) Pengerang, Kota Tinggi dan Tenggara boleh bagi (menang di kerusi tersebut), kita langgar apa ada hal," katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Luar Negeri berkata, parti perlu lebih memahami kehendak orang muda yang kini menjadi pengundi baharu dan banyak menentukan keputusan PRU.

"Pengundi 18 tahun jadikan (keputusan pilihan raya) tak tentu arah, takkan nak bantah undi 18, itu mengundur ke belakang namanya. Kebanyakkan kawasan mempunyai 50 hingga 60 peratus pengundi berusia 40 tahun ke bawah.

"Parti perlu memahami pemikiran dan berdamping dengan anak muda menerusi program-program yang mereka suka dan dapat menerimanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 5:29 PM