MOHAMAT Johari (tengah) menunjukkan lori yang melakukan kesalahan semasa sidang media Op Lebih Muatan di Stesen Penguatkuasa JPJ Valdor, Nibong Tebal, hari ini. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal.
MOHAMAT Johari (tengah) menunjukkan lori yang melakukan kesalahan semasa sidang media Op Lebih Muatan di Stesen Penguatkuasa JPJ Valdor, Nibong Tebal, hari ini. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal.
Nur Izzati Mohamad


SEMUA syarikat yang ingin menggaji pemandu lori di Pulau Pinang diingatkan supaya meneliti terlebih dahulu rekod individu berkenaan sebelum diambil bekerja.

Ini kerana, melalui Op Lebih Muatan dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak 10 Julai lalu mendapati lebih 30 kes pemandu lori tidak mempunyai lesen memandu dan Lesen Vokasional Kenderaan Barangan (GDL).

Pengarah JPJ negeri, Mohamat Johari Mat Nor berkata, walaupun kes tidak memiliki lesen memandu dan GDL itu kecil, namun pihaknya tetap memandang serius kerana ia melanggar undang-undang dan memberi ancaman kepada pengguna jalan raya sekiranya berlaku perkara tidak diingini.

“Sudahlah mengendalikan kenderaan muatan berat, inikan pula tiada lesen dan kami amat memandang berat perkara ini serta mahu semua syarikat mengambil pemandu lori bebas rekod jenayah dan mematuhi undang-undang.

“Bagi kesalahan tiada lesen, kami bukan sahaja memberi kompaun kepada pemandu lori, tetapi terhadap syarikat yang membenarkan lori itu dipandu mereka tidak mempunyai lesen,” katanya pada sidang media di Stesen Penguatkuasa Valdor, Nibong Tebal, hari ini.

Dalam operasi itu, seramai 112 anggota dan penguatkuasa JPJ memeriksa 927 kenderaan perdagangan yang membawa muatan berat dan mengeluarkan 895 saman terhadap pemandu lori yang melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mohamat Johari berkata, operasi itu bertujuan mengesan lori ‘tipper dumper’ yang menyalahgunakan kelulusan tambah dinding bagi tujuan membawa barangan pertanian, tetapi digunakan untuk membawa bahan galian seperti tanah, batu dan pasir.

“Tindakan ini diambil berikutan ia mengancam nyawa pengguna jalan raya termasuk merosakkan permukaan jalan apabila tanah, batu dan pasir jatuh di atas jalan.

“Selain itu, kami turut mengesan lori kargo dan kenderaan perdagangan lain yang melakukan kesalahan membawa barangan lebih muatan,” katanya.

Mohamat Johari berkata, pihaknya mengesan 282 lori yang membawa lebih muatan dan 36 membawa muatan berbahaya dalam operasi itu yang dijangka berakhir pada 8 Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 7:02 PM