ANTARA kenderaan berat yang diperiksa selepas dipercayai membawa lebih had muatan. FOTO Ihsan JPJ
ANTARA kenderaan berat yang diperiksa selepas dipercayai membawa lebih had muatan. FOTO Ihsan JPJ
Nurul Hidayah Bahaudin

Putrajaya: Pembekal, pengeluar dan pihak kuari khususnya digalakkan supaya menggunakan khidmat daripada syarikat lori 'tidak bermasalah' yang mematuhi undang-undang jalan raya.

Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Lokman Jamaan berkata, terdapat kira-kira 40,000 syarikat kenderaan perdagangan berdaftar di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, kurang 10 peratus syarikat bermasalah menggunakan khidmat tonto, pemandu warga asing, pemandu tidak kompeten (tiada CDL & GDL), membawa lebih had muatan (ekstrem), tiada insuran, tahap teknikal kenderaan tidak selamat, muatan bahaya dan lain-lain kesalahan.

"Sikap mementingkan diri bagi mengaut keuntungan mudah ini pastinya mengundang pelbagai masalah seperti kerosakan jalan dan kemalangan maut terutama bagi penunggang motosikal," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Mengulas mengenai dakwaan JPJ menyita lori yang dianggap sebagai perbuatan melampau oleh sesetengah pihak, beliau berkata, pihaknya tidak mahu berkompromi dengan kesalahan mendorong berlakunya kemalangan maut.

"Tindakan sita yang kita ambil adalah berlandaskan lunas undang-undang iaitu mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 80 Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

"Tindakan penguatkuasaan ini diambil terhadap syarikat dan pemandu lori yang membawa muatan melebihi 71 peratus daripada had ditetapkan serta melakukan kesalahan sama berulang kali dan mempunyai rekod saman yang tinggi.

"Ini kerana apabila had muatan terlalu berat, ia akan menjejaskan sistem brek dan kawalan stereng serta kerosakan teknikal sekali gus boleh menyebabkan hilang kawalan dan berlakunya kemalangan sehingga melibatkan kematian," katanya.

Beliau berkata, JPJ sentiasa mengutamakan kelestarian ekosistem jalan raya dengan memastikan operasi kenderaan perdagangan selamat untuk semua pengguna.

"Adalah menjadi tanggungjawab kepada JPJ untuk mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan maut dengan memastikan semua kenderaan khususnya kenderaan perdagangan mematuhi undang-undang jalan raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2023 @ 1:36 PM