LAPORAN portal HarianMetro sebelum ini.
LAPORAN portal HarianMetro sebelum ini.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Lebih muatan sehingga 140 peratus daripada had dibenarkan punca beberapa kenderaan berat tidak dilepaskan dari sitaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

JPJ dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya mengambil maklum berkenaan laporan membabitkan sekumpulan pemandu lori yang merungut selepas kenderaan milik mereka tidak dilepaskan dari sitaan.

Menurutnya, kenderaan berat terbabit ketika ditahan didapati membawa muatan berlebihan melebihi antara 70 hingga 140 peratus yang berisiko tinggi menyebabkan kemalangan maut.

"Dalam menguatkuasakan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) & Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), adalah bersandar kepada prosedur di bawah akta berkenaan.

"Kenderaan berat yang membawa lebih muatan atau berbahaya adalah berisiko kepada kemalangan maut akibat kegagalan fungsi brek dan kegagalan teknikal.

"Ia juga mengakibatkan kerosakan jalan raya yang sering menjadi punca kemalangan kepada kenderaan lain," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, sekumpulan pemandu hilang punca pendapatan selepas lori milik mereka tidak dilepaskan daripada sitaan JPJ walaupun mendakwa sudah melangsaikan kompaun atas kesalahan lebih muatan.

Kumpulan itu mendakwa ada pemilik lori sudah disenarai hitam oleh pihak bank kerana gagal membayar ansuran bulanan kenderaan berat itu yang mencecah RM6,000 sebulan.

Mereka mendakwa, JPJ enggan melepaskan lori milik mereka malah mengeluarkan notis pelucutan hak walaupun kompaun berjumlah puluhan ribu ringgit sudah dilangsaikan.

Sehubungan itu, JPJ berkata, pihak syarikat atau pemilik lori dinasihatkan untuk menyelesaikan isu berkenaan di bawah Seksyen 57 dan Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 di Mahkamah.

"JPJ memikul amanah dalam menguatkuasakan undang-undang dan peraturan jalan raya serta tidak berkompromi dengan mana-mana pihak.

"Penguatkuasaan undang-undang jalan raya penting bagi mengurangkan risiko kemalangan dan kehilangan nyawa pengguna jalan raya yang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2023 @ 11:48 AM