MANGSA diberi rawatan awal selepas kemalangan di Jalan Apin-Apin, Keningau. FOTO Ihsan Bomba.
MANGSA diberi rawatan awal selepas kemalangan di Jalan Apin-Apin, Keningau. FOTO Ihsan Bomba.
Juwan Riduan


Keningau: Dua beranak maut manakala lima lagi cedera selepas terbabit kemalangan dua kenderaan di Jalan Apin-Apin, di sini, tengah malam tadi.

Masino Gelong, 45, yang memandu Toyota Avanza meninggal dunia bersama anaknya, Claeryina Mecthildis Masino, 4.

Mangsa cedera adalah isteri Masino, Chelrina Philip, 33, dan empat lagi anaknya, Mattheo Charbel, 2; Mica Chelsino, 7; Charlene Myra, 9; dan Camellia Mae, 11.

Turut cedera tiga mangsa dalam Nissan Navara.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada 12.22 tengah malam.

Katanya, seramai 13 anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau dikejarkan ke lokasi.

"Kemalangan membabitkan Toyota Avanza dan Nissan Navara, dengan tujuh mangsa berada di dalam kenderaan Toyota Avanza.

"Seorang kanak-kanak dan lelaki dewasa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pasukan membantu mengeluarkan mangsa dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, mangsa cedera dihantar ke hospital dengan jentera EMRS dan ambulans.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2024 @ 8:15 AM