ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan.
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan.

Seremban: Suami isteri parah manakala seorang lagi cedera di tangan dan kaki dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Seremban-Kuala Pilah, dekat Bukit Putus, di sini, kelmarin.

Kemalangan berlaku pada jam 5 petang membabitkan pacuan empat roda Nissan Navara yang dipandu lelaki berusia 30-an, kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora yang dinaiki suami isteri serta kereta Subaru.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Zainurin Sharif berkata, sebuah jentera bomba bersama tujuh anggota bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan jam 5.05 petang.

Katanya, sebaik tiba pihaknya mendapati suami isteri berusia 42 dan 52 tahun itu masih dalam kenderaannya manakala mangsa lain sudah diselamatkan.

“Kami mengambil masa tiga minit untuk mengeluarkan mangsa tersepit berikutan kenderaannya remuk sebelum diserahkan kepada pihak ambulans untuk dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini bagi rawatan lanjut.

“Saya difahamkan kemalangan berlaku apabila Nissan Navara dari arah Seremban hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuh Proton Exora yang datang dari Kuala Pilah.

“Pada masa sama, kereta Subaru dipandu seorang lelaki dari Kuala Pilah berada di belakang Proton Exora itu gagal mengelak lalu merempuh kenderaan terbabit,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, pemandu Nissan Navara cedera ringan manakala pemandu Subaru tidak cedera.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, suami isteri itu dirawat di zon merah HTJ manakala pemandu Nissan Navara menerima rawatan di zon kuning hospital sama.

“Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 4:24 AM