SEBUAH daripada kenderaan yang terbabit kemalangan. FOTO Ihsan Polis.
SEBUAH daripada kenderaan yang terbabit kemalangan. FOTO Ihsan Polis.
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Dua beranak maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Besar Felda Palong Empat di sini, malam tadi.

Mangsa ialah Mohd Azharruddin Azmee, 34, dan ibunya, Nor Rohaini Masri, 62, dari Felda Palong 12, Gemas, manakala lima individu lain cedera.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, kemalangan pada 11.50 malam itu membabitkan dua Proton Exora, dua Toyota Avanza dan sebuah lori jenis Nissan UD.

Katanya, ia dipercayai berpunca daripada Proton Exora (A) dipandu suri rumah berusia 35 tahun yang dalam perjalanan pulang dari Dungun, Terengganu ke Melaka hilang kawalan dan melanggar tayar belakang lori yang datang dari arah bertentangan.

"Selepas itu, kereta A telah berlanggar dengan sebuah lagi Proton Exora (B) dipandu lelaki 37 tahun yang datang dari arah bertentangan.

"Kereta A juga melanggar Toyota Avanza (C) secara berdepan, sebelum sebuah lagi Toyota Avanza (D) dipandu lelaki 22 tahun yang berada di belakang kenderaan C melanggar kereta A," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Nor Rohaini dan Mohd Azharruddin yang merupakan penumpang belakang kenderaan C meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Jempol untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2022 @ 10:32 AM