Keadaan kereta yang merempuh pokok menyebabkan dua maut. FOTO Ihsan PDRM
Keadaan kereta yang merempuh pokok menyebabkan dua maut. FOTO Ihsan PDRM
Fardy Bungga


DUA maut manakala seorang cedera selepas kereta dinaiki hilang kawalan sebelum merempuh pokok di Kilometer 2, Jalan Keningau - Apin Apin, Keningau hari ini.

Dalam kejadian 4.30 pagi itu, pemandu dan penumpang Proton Saga masing-masing lelaki berusia 31 dan 28 tahun meninggal dunia di lokasi.

Difahamkan, penumpang hadapan berusia 26 tahun hanya cedera dan dikejarkan ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati kereta dinaiki ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan dari Apin Apin menuju ke pekan Keningau.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi, kenderaan mereka hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh pokok di kiri jalan.

“Impak kemalangan itu, pemandu dan penumpang belakang meninggal dunia di lokasi manakala penumpang hadapan cedera.

“Kedua-dua mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Keningau,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahrudin berkata, mangsa yang cedera masih dirawat dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 2:05 PM