LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Juwan Riduan


Keningau: Seorang lagi mangsa kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah pikap di Jalan Apin-Apin, di sini pada 24 Mac lalu meninggal dunia, menjadikan empat sekeluarga maut akibat insiden itu setakat, semalam.

Pada hari kejadian, dua mangsa dilaporkan maut di lokasi kejadian, masing-masing pemandu MPV Masino Gelong, 45, dan anaknya Claeryina Mecthildis, 3, manakala lima yang lain, termasuk isteri dan empat lagi anak dilaporkan cedera parah dan dihantar ke Hospital Keningau untuk rawatan.

Bagaimanapun, isteri mangsa Chelrina Philip, 33, dilaporkan turut meninggal dunia kira-kira 21 jam selepas kemalangan itu dan semalam, seorang lagi anaknya iaitu Mica Chelsino, 7, dilaporkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, Mica yang duduk di bahagian penumpang disahkan meninggal dunia jam 11.21 malam.

"Bedah siasat tidak perlu dibuat kerana pihak Forensik Hospital Keningau sudah pastikan punca kematian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, tiga lagi anaknya dalam keadaan stabil dan menerima rawatan di Hospital Likas dan Hospital Keningau.

"Charlene Myra Masini, 9, stabil dan pemantauan di Hospital Keningau manakala Camellia Mae Masimo, 11, stabil dan dirawat di Hospital Likas.

"Mattheo Charbel, 2, stabil dan kini berada di rumah keluarga ibu mangsa di Keningau," katanya.

Dalam kejadian tengah malam Ahad lalu, Toyota Avanza dipandu Masino dari arah Keningau menuju ke Apin-Apin bersama isteri dan lima anaknya hilang kawalan masuk ke laluan kenderaan Nissan Navara lalu berlaku pertembungan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 6:14 PM