Wan Rosdy.
Wan Rosdy.
Asrol Awang


Kuantan: Naib Presiden Umno Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memohon pihak berkuasa segera mengambil tindakan tegas terhadap isu kalimah Allah.

Beliau berkata, ia bagi memastikan dalang di sebalik kejadian itu menerima hukuman.

Dalam pada itu, katanya, isu itu juga sudah mula menerbitkan bibit-bibit perbalahan antara kaum, dan isu ini wajar diselesaikan segera sebelum ia melarat menjadi sesuatu yang lebih buruk.

"Polemik isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini.

"Ia adalah satu penghinaan kepada agama Persekutuan terutama bagi penganutnya.

"Laporan polis sudah dibuat oleh Pemuda Umno Malaysia dan diikuti beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain.

"Saya memohon agar pihak berkuasa segera mengambil tindakan bagi memastikan dalang di sebalik kejadian ini menerima hukuman," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Rosdy mengharapkan seluruh rakyat di negara ini dapat menjaga sensitiviti kaum dan agama bagi memastikan keharmonian dan kesejahteraan dapat terus dikekalkan.

Pada 13 Mac lalu, tular di media sosial stoking kalimah Allah yang dijual di KK Super Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Ia menyebabkan polemik berterusan membabitkan Pemuda Umno yang menggesa supaya rangkaian KK Mart diboikot, manakala MCA pula mengkritik tindakan itu yang disifatkan terlalu agresif.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 3:17 PM