Ketua Pemuda UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin, Dr Muhamad Akmal Saleh menunjukkan salinan laporan polis selepas membuat laporan di Balai Polis Merlimau, kelmarin. FOTO AMIR MAMAT
Ketua Pemuda UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin, Dr Muhamad Akmal Saleh menunjukkan salinan laporan polis selepas membuat laporan di Balai Polis Merlimau, kelmarin. FOTO AMIR MAMAT
Oleh Rohaniza Idris


Kuala Lumpur: Pemuda UMNO meneruskan kempen boikot KK Super Mart dengan meminta orang ramai memeriksa sama ada pengurusan kedai serbaneka itu sudah menaikkan kenyataan permohonan maaf seperti yang diminta mereka dua hari lalu.

Hari ini, hari kedua selepas kempen boikot dilancarkan pergerakan itu yang turut mendesak pengurusan KK Super Mart memasang kain rentang di semua 881 cawangan kedai serbaneka itu di seluruh negara bagi memohon maaf atas penjualan stokin tertera kalimah 'Allah'.

Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh turut meminta orang ramai berkongsi maklumat jika ada kedai serbaneka KK Super Mart yang sudah melaksanakan permintaan menggantung kain rentang permohonan maaf itu.

"Hari ini adalah hari kedua sejak daripada desakan kita untuk KK Mart meminta maaf di setiap cawangan mereka di dalam Malaysia

"Saya nak mohon anda (orang ramai) semua cuba 'check' (periksa) KK Super Mart di kawasan anda ada tak menaikkan kenyataan mohon maaf di kedai mereka? Cuba kongsi di sini," katanya dalam hantaran di media sosialnya, hari ini.

Kelmarin, Dr Muhammad Akmal memberi tempoh dua hari kepada pengurusan KK Super Mart untuk memasang kain rentang di semua 881 cawangan kedai serbaneka itu di seluruh negara bagi memohon maaf atas penjualan stokin tertera kalimah Allah.

Pemuda Umno juga memberi amaran akan memulakan boikot lebih kuat terhadap KK Super Mart sekiranya pengurusan kedai serbaneka itu gagal mematuhi tuntutan pergerakan itu.

Dalam hantaran yang sama, Dr Muhammad Akmal turut membidas tindakan individu yang cuba menjadi 'wira' mempertahankan isu itu dengan meminta jangan memperbesarkan isu berkenaan.

"Sangat memalukan sebab tunduk pada taukeh besar!!!," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, sehingga semalam, sekurang-kurangnya 13 laporan dibuat di seluruh negara berkaitan kes kalimah Allah pada stoking yang dijual di rangkaian KK Super Mart.

"Kalau sebelum ini polis tidak boleh melakukan siasatan kerana tiada laporan polis, sehingga semalam, sekurang-kurangnya 13 laporan sudah dibuat di setiap negeri.

"Seluruh rakyat Malaysia menunggu apakah hasil siasatan daripada laporan ini. Kami minta ia disiasat di bawah seksyen 298(A) Kanun Keseksaan dan diberikan hukuman setimpal supaya ia menjadi pengajaran kepada mana-mana pihak yang ingin bermain dengan isu 3R ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2024 @ 2:04 PM